MULA melakukan 'debut' bersama Selangor FC ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada 2021.
Nama Shahrul Nazeem Zulpakar atau lebih dikenali sebagai 'Afro' terus mencipta nama sebagai pemain muda pertahanan yang sedang meningkat naik.
Meskipun Selangor FC menukar tiga ketua jurulatih sejak 2021, Afro tetap menjadi pilihan kesemua pengendali Gergasi Merah untuk membarisi benteng pertahanan pasukan.
Kecemerlangan Shahrul dalam Liga Super tidak sia-sia apabila dia dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk mengharungi kejohanan Piala AFF 2022 yanga mana pemain berusia 23 tahun itu turut tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan.
Musim ini bekas kapten Selangor FC II sering bergilir-gilir dalam senarai kesebelasan utama dengan pemain muda meningkat naik, Harith Haiqal dan Richmond Ankrah.
Shahrul ketika mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala AFF 2022. — Facebook/FAM
Liga Malaysia (Liga M) berhenti selama tiga minggu bagi memberi laluan buat skuad Bawah-22 (B-22) mengharungi kejohanan Sukan SEA yang mana menyaksikan Harimau Muda gagal melepasi peringkat kumpulan.
Namun apa yang menariknya tempoh ini memberi laluan kepada pemain-pemain untuk berehat dan fokus pada latihan bersama pasukan.
Selangor FC memuat naik gambar latihan skuad kendalian Cheng Hoe, namun apa yang menarik perhatian penyokong adalah penampilan baharu Shahrul Nazeem yang tidak lagi mengenakan gaya rambut afro.
Malah penyokong memuji gaya rambut baharunya dengan harapan tidak menjejaskan corak permainannya semasa beraksi di atas padang.
"Wahh, Afro dah potong rambut, semoga tandukan lebih tajam lagi selepas ini," kata Mohd Anuar Nasri.
Penampilan terbaharu Shahrul dalam sesi latihan Selangor FC. — Facebook/Selangor FC
"Gaya rambut macam ini okay, jangan masa latihan saja buat rambut style macam ini tapi perlawanan sebenar serabai," jelas Insan Yang Ambil Berat.
"Baru boleh lari laju, potong angin," luah Syafiq Mursyid.
"Hampir tak kenal, macam ini baru bagus rambut tak masuk mata tak adalah ganggu waktu game nanti," luah Johari Bakar.
Anak-anak buah Cheng Hoe selepas ini akan bertandang ke Stadium Ipoh, Perak pada 20 Mei bagi meneruskan saingan Liga Super sebelum kembali ke Stadium MBPJ bagi melayani kunjungan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 24 Mei nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,