[VIDEO] Lepas kes siku kekasih di Johor, kali ini video pasangan bergaduh hentak kereta 'kuning' pula tular


  • Tular
  • Rabu, 10 Mei 2023

Tangkap layar pergaduhan membabitkan seorang wanita dan pemandu kereta berwarna kuning.

SELANG beberapa hari selepas kes pasangan kekasih bergaduh secara terbuka di Johor, kini warganet sekali lagi dikejutkan dengan insiden hampir serupa apabila pasangan dipercayai suami isteri dirakam berkelahi di tempat awam pada Khamis.

Rakaman tular di laman Facebook itu memaparkan insiden seorang wanita yang membawa bayi bersamanya mula berpelakuan ganas ketika kejadian.

Dalam insiden itu, wanita tersebut dilihat memberikan bayi berkenaan kepada seorang individu yang memandu kenderaan berwarna kuning di situ sebelum berlaku perbalahan antara mereka.

Wanita terbabit terlebih dahulu berpelakuan ganas apabila menendang pintu di bahagian pemandu sebelum si pemandu melempar sebuah botol berisi air kepadanya.

Tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku, namun perkongsian video itu semakin mendapat perhatian warganet.

Situasi kian meruncing sebaik wanita terbabit dilihat memukul pemandu dipercayai suaminya itu melalui tingkap dan mula beredar tidak lama kemudian.

Terdahulu pada minggu lepas, perbuatan seorang penunggang dan pembonceng yang bergaduh di atas motosikal, menjadi bualan netizen apabila aksi mereka tular dalam media sosial.

Tindakan kedua-dua individu berkenaan yang dipercayai pasangan kekasih itu menarik perhatian ramai apabila wanita terbabit kelihatan lemah selepas dipukul di Kompleks Mutiara Johor Land, Johor Bahru, Johor.

Namun, rakaman kejadian yang baharu berlaku ini masih belum ada sebarang kenyataan polis setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram