PEMAIN negara ketika ini semakin giat menimba pengalaman di liga luar negara dengan perkara itu diyakini mampu memberikan lebih pengalaman berharga serta pendedahan yang berguna buat seseorang itu.
Namun, sesetengah daripadanya kurang bernasib apabila tidak terlalu mendapat tempat dalam kesebelasan utama selain gagal membentuk keserasian bersama rakan sepasukan apabila beraksi bersama kelab diwakili.
Malaysia yang memiliki ramai pemain tempatan berkaliber, sentiasa menjadi perhatian pemerhati bola sepak luar negara untuk membawa masuk bakat berpotensi ke liga masing-masing.
Terbaharu, dua nama pemain kelahiran Kedah dan Terengganu dikatakan mula meraih minat ejen dari Indonesia yang mahu kedua-dua individu berkenaan diserap masuk ke saingan Liga Indonesia musim hadapan.
Dua pemain yang dimaksudkan adalah Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang sememangnya tidak asing lagi di perlawanan peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya.
Akhyar Rashid dan Safawi Rasid merupakan antara pemain JDT yang banyak menyumbang buat pasukan kebangsaan. — Facebook/JDT
Pasukan PSM Makassar dan Persib Bandung merupakan antara dua destinasi yang dikatakan sesuai dengan corak permainan kedua-dua pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu.
Corak permainan serta skil kawalan bola dimiliki penyerang kebangsaan itu sangat berpotensi untuk dikembangkan di negara jiran dengan saingan Liga 1 Indonesia juga tidak kurang hebatnya apabila dihadiri ramai pemain berkelas A.
Meskipun liga terbabit agak kontroversi dan sering terpalit dengan isu pergaduhan di luar padang, namun melihatkan bekas legenda bola sepak negara, Safee Sali yang pernah mendominasi saingan di Indonesia satu ketika dahulu, cukup untuk membuktikan betapa kedua-dua pasukan itu mampu mengubah corak serta meningkatkan prestasi mereka.
"Kalau kita lihat kepada rekod Safee Sali sebelum ini, tak ada yang buruk kerana dia mampu menunjukkan prestasi memberansangkan sepanjang bersama Pelita Jaya Raya FC, tak salah pun kalau hantar pemain ke sana," kata Azri Marzuki.
"Elok juga kalau hantar Safawi dan Akhyar ke liga Indonesia, baru ada minit permainan dan saingan di sana juga boleh tahan hebat," ujar Aiman Radzi.
"Terpulang kepada tuan badan, kalau rasa nak timba pengalaman elok la berhijrah ke liga Indonesia nanti balik boleh kongsikan pengalaman dengan rakan seperjuangan," tambah Hariv Miky.
Ketika ini, Safawi Rasid yang beraksi bersama pasukan Ratchaburi FC di Liga 1 Thailand dilihat kurang menyerlah persembahannya apabila hanya mencatatkan satu gol dalam 13 penampilannya setakat ini.
Gagal mencapai sasaran peminat yang mahu menyaksikan dia menjadi salah seorang peledak utama di Liga Thai, Safawi Rasid digesa untuk berhijrah ke pasukan lain yang lebih bersesuaian dengan corak permainannya.
Sama seperti Akhyar Rashid yang juga memiliki kebolehan dan skil kawalan bola seperti Safawi, anak jati Kedah itu diyakini mampu menyerlah sekiranya beraksi di Liga Indonesia berbanding di JDT yang memiliki ramai pilihan pemain import yang beraksi di posisinya.
Harapan peminat ketika ini pastinya mahu melihat kedua-dua pemain berkenaan kembali menyinar seperti di zaman kegemilangan mereka satu ketika dahulu dengan berita pemindahan mereka ke bumi Indonesia pastinya dinanti-nantikan penyokong bola sepak tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram