SIKAP kurang bertanggungjawab pekerja sebuah syarikat penghantaran yang melempar dan menghempas bungkusan yang tular pada Khamis mencetus kemarahan penduduk di Johor.
Dirakamkan menerusi kamera telefon pintar, insiden tersebut menjawab segala persoalan warganet yang sebelum ini mendakwa kerap menerima barangan yang hancur dan retak.
Syarikat tersebut yang merupakan salah satu jenama perkhidmatan penghantaran terkenal di Malaysia dikatakan gagal menjalankan tugas dengan baik apabila pekerjanya dilihat melakukan kerja secara sambil lewa.
Dikongsikan di laman TikTok, rakaman terbabit hangat diperkatakan dan menerima lebih 30,000 jumlah tontonan setakat ini.
Salah seorang warganet mendakwa syarikat penghantaran berkenaan sering terpalit dengan isu tersebut dan perkara itu pernah dilaluinya.
"Memang pekerja syarikat ini suka main lempar barang orang, bila buka je bungkusan habis berkecai rosak barang yang aku beli," kata Umar Rasydan.
"Tak payah la buat pesanan dengan syarikat ini lagi, memang dah sah akan rosak barang kita, tengok la pekerja dia buat kerja macam mana, tak ikhlas langsung," kata Faizah Marian.
"Ini memang tabiat pekerja penghantar barang, kalau ya pun dah letih jangan la dibalingnya bungkusan pelanggan macam itu, bukannya murah harga semua itu, tunggu masa kena saman je satu hari nanti syarikat penghantaran macam ni," jelas Nur Hanis.
Belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan isu terbabit dengan lokasi sebenar syarikat itu beroperasi juga masih belum diketahui setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram