[VIDEO] Rancang protes besar-besaran, warga Pakistan di KL desak bebaskan Imran Khan


  • Tular
  • Khamis, 11 Mei 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki warga Pakistan mengadakan perhimpunan di sekitar Ampang, Kuala Lumpur.

SEKUMPULAN warga Pakistan dirakam sedang giat merancang untuk mengadakan rusuhan dan protes di jalan sekitar kawasan Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam rakaman video berdurasi 18 saat itu, rusuhan itu difahamkan berkait rapat dengan isu penahanan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang dituduh terlibat dalam kes rasuah di negara itu.

Menuntut pembebasan terhadap bekas pemimpin berkenaan, warga Pakistan yang menetap di negara ini turut mengambil langkah sama dengan mengadakan protes seperti yang berlaku di negara mereka.

Dijangka akan mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di sekitar Ampang, keselamatan masyarakat di kawasan terbabit turut terancam sekiranya ia benar berlaku.

Ketika ini, pemilik video terbabit difahamkan telah memadam kesemua video yang dimuat naik berkaitan rusuhan tersebut namun, rata-rata warganet menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap perkara itu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi Majoriti berkata, pihaknya akan menyemak segala butiran mengenai isu terbabit.

Namun, masih belum ada sebarang maklumat dikongsikan setakat ini dengan orang ramai yang mempunyai butir lanjut diminta hadir ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram