Skuad B-22 tekan ‘panic button’? KPG, Pau Marti pantau sesi latihan Harimau Muda


  • Podium
  • Ahad, 07 Mei 2023

Pan-gon bersama pemain Harimau Muda. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia gagal mengulangi aksi cemerlang pada perlawanan terdahulu apabila tunduk 0-2 ditangan Thailand pada perlawanan kedua Sukan SEA 2023 yang berlangsung di Stadium Prince, Phnom Penh di Kemboja pada Sabtu.

Perlawanan ini menyaksikan pengendali pasukan, E. Elavarasan meletakkan Syahir Bashah, Fergus Tierney dan T. Saravanan di kesebelasan utama, manakala merehatkan Mukhairi Ajmal Mahadi, Aliff Izwan Yuslan serta Haqimi Azim Rosli.

Bertemu lawan yang merupakan pemenang pingat perak edisi lalu, barisan pemain skuad negara dilihat sedikit berdepan kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaik.

Penolong jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti (kiri) bersama Mukhairi Ajmal (kanan) semasa latihan skuad B-22. — Facebook/FAM

Pemain Thailand mempamerkan corak permainan lebih teratur dengan kawalan bola baik untuk mendominasi aksi terutamanya pada separuh masa pertama.

Tekanan yang diberikan anak buah Ithsara Sritharo kian memuncak pada minit ke-73 apabila Anan Yodsangwal melepasi perangkap ofsaid lalu menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk membuka tirai jaringan.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral pemain Thailand untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil berselang 10 minit kemudian.

Pan-gon turut dilihat berada dalam latihan skuad B-22. — Facebook/FAM

Penyokong Harimau Muda yang kecewa dengan persembahan skuad kebangsaan mula berspekulasi dengan mengatakan skuad B-22 dilihat menekan butang panik apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuat naik gambar Kim Pan-gon dan Pau Marti Vicente di dalam latihan Malaysia.

"Patutnya bagi je tugasan B-22 ini dekat ketua jurulatih kebangsaan,sama macam yang Vietnam dan Indonesia buat," kata Khairul Izwan Amin.

"KPG dah pusing Eropah untuk bantu skuad 22 negara, taktikal tiki-taka akan dijelmakan skuad muda negara berdepan Vietnam nanti," jelas Mohd Aisamuddin.

"Bagus KPG bagi suntikan semangat, jangan try and error lagi dah," ujar Khori Kasim.

"Tekan panic button, here come KPG," luah Md Azrie.

Skuad negara akan bertemu Vietnam pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan di venue yang sama pada Isnin ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram