Dirobek Thailand 2 kali, ubi muda JDT didesak main '11 Eleven' Harimau Muda jumpa Vietnam


  • Podium
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Tierney yang diberi kepercayaan mengemudi jentera serangan gagal mencetak sebarang gol pada aksi menentang Thailand. — Facebook/FAM

PENGENDALI skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun (B-22), E. Elavarasan melakukan tiga perubahan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Muda ketika ditewaskan 0-2 di tangan Thailand bagi aksi Kumpulan B berbanding ketika berdepan Laos pada Rabu lalu.

Perubahan itu membabitkan pemain tengah, Mukhairi Ajmal, Daryl Sham, penyerang, Aliff Izwan dan digantikan dengan T.Saravanan, Fergus Tierney serta Syahir Bashah.

Pertukaran tersebut bagaimanapun tidak memberikan perubahan positif dalam skuad Harimau Muda apabila tidak berhasil mencetak sebarang jaringan gol pada babak pertama perlawanan.

Bersambung di babak kedua, Elavarasan membuat lima perubahan pemain dengan memasukkan Haqimi Azim. Najmudin Akmal, Mukhairi Ajmal, Muhammad Aliff dan Adam Farhan.

Kemasukan lima pemain itu sedikit sebanyak membawa perubahan kepada corak permainan pasukan Malaysia namun masih gagal untuk menterjemahkan peluang kepada bentuk jaringan gol.

Pasukan Thailand menunjukkan kehebatan mereka apabila berhasil mencetak dua jaringan go menerusi jaringan dari Anan Yodsangwal pada minit ke-73 dan Yotsakon Burapha (83’).

WhatsApp Image 2023-05-06 at 17.55.31

Kesebelasan utama skuad B-22 negara menentang Thailand. — Facebook/FAM

Kekalahan di tangan skuad Gajah Perang itu membuatkan Malaysia perlu bekerja lebih keras untuk menewaskan juara bertahan, Vietnam pada aksi Kumpulan B seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.

Selepas menyaksikan skuad B-22 negara gagal mencetak sebarang jaringan, penyokong mengharapkan pengendali berusia 61 tahun itu akan memasukkan duo Johor Darul Takzim (JDT II) iaitu Najmudin Akmal Kamal Akmal dan Adam Farhan Mohd Faizal dalam kesebelasan utama semasa bertemu The Golden Star Warriors nanti.

“Serangan bahagian kiri dan depan Malaysia itu tidak hidup. Belah kanan sahaja banyak. Azrin itu tidak patut kesebelasan utama. Najmuddin yang patut main,” kata penyokong, Zaimu Nadzri.

“Sepatutnya masukkan si Adam Farhan. Dia laju sikit,” komen penyokong bola sepak tanah air, Sam Urye.

“Pertahanan okay.. cuma kena lebih agresif. Malaysia tiada yang ada skill dribble. Sayang tiada Arif Aiman. Harap Najmuddin main kesebelasan utama,” tambah seorang lagi penyokong, Aisyah Cha Icah.

Kemenangan yang memihak kepada skuad Gajah Perang itu membolehkan Thailand melonjak ke tangga kedua Kumpulan B dengan enam mata sementara Malaysia turun ke tangga ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram