KETUA jurulatih Vietnam, Philippe Troussier meluangkan banyak masa mengkaji setiap kelemahan dan kekuatan pasukan Malaysia B-22 menjelang pertemuan penting acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada Isnin.
Menurut laporan Bongdaplus, Troussier menjadikan aksi menentang Malaysia sebagai penanda aras kekuatan pasukannya dan wajib menang untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.
Vietnam membuat persiapan yang lebih rapi berbanding Malaysia dan mereka sempat menyertai Piala Doha B-23 di Qatar sebelum menghadapi saingan Sukan SEA.
Jurulatih dari Perancis itu lebih gemar dengan corak permainan hantaran pendek dan menuntut anak buahnya memegang bola sehingga tamat 90 minit perlawanan.
Penyerang Vietnam, Nguyen Thanh Nhan turut mengakui Malaysia bukan lawan yang mudah dan mereka juga membuat kerja rumah untuk kaji corak permainan skuad Elavarasan itu.
“Saya dan seluruh pasukan membuat persiapan rapi untuk perlawanan ini. Malaysia pasukan yang kuat. Kami jangkakan perlawanan akan jadi lebih sengit. Kami perlu minimumkan kesilapan membuat hantaran dan perlu mengawal permainan serta situasi tertentu yang boleh timbul,” kata Thanh Nhan.
Skuad Harimau Muda menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Vietnam pada Isnin. — Facebook/ FAM
Tempoh rehat selama lima hari juga turut memberi kelebihan kepada Vietnam untuk memulihkan tahap kecergasan mereka yang merupakan juara bertahan Sukan SEA.
Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan B, Vietnam berada di tangga kedua dan terikat enam mata dengan Thailand. Baki dua perlawanan terakhir bakal jadi penentu dua pasukan teratas kumpulan bagi merebut slot separuh akhir.
Namun, kelebihan akan memihak kepada Malaysia jika skuad negara berjaya menewaskan Vietnam dan wajib mengutip tiga mata dalam perlawanan terakhir menentang Singapura pada 11 Mei ini.
“Rehat selama lima hari beri kelebihan kepada Vietnam. Semalam (Ahad), pasukan lawan bermain dan kami baru nak mulakan sesi latihan. Saya tidak sabar dan sudah bersedia untuk menentang Malaysia.
"Dari segi fizikal, pemain Malaysia tinggi dan ada stamina. Itulah kekuatan pasukan Malaysia. Jadi perlu bermain lebih garang menentang pihak lawan. Mudah-mudahan kami akan menang,” tambah Thanh Nhan.
Kelibat, penyerang muda kelab Hanoi FC, Nguyen Van Tung wajar diberi perhatian oleh benteng Malaysia dengan pemain berusia 21 tahun itu meledak gol ketika membantu pasukannya menewaskan Laos dan Singapura sebelum ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram