Keputusan anak jati Kelantan untuk kekal bersama TRW ubati hati penyokong


  • Podium
  • Ahad, 25 Dis 2022

Skuad Kelantan FC ketika ini dilihat bersederhana menjelang persiapan Liga Super musim depan. — Facebook/TRW Kelantan FC

WALAUPUN sudah lebih dua minggu sejak jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka, beberapa kelab dilihat hanya berdiam diri mengenai persiapan terkini skuad masing-masing.

Antara kelab yang masih tidak melakukan aktiviti jual beli dengan bersemangat ialah naib juara Liga Perdana, Kelantan FC yang bakal pulang ke divisyen teratas bola sepak tempatan buat pertama kali sejak 2018.

Setakat ini, pihak pengurusan hanya mengumumkan beberapa pemain yang bakal disambung kontrak masing-masing selepas menjadi tonggak di sebalik kemaraan The Red Warriors (TRW).

Namun, bagi muka-muka baharu pula, pemilik pasukan, Norizam Tukiman sepertinya bermain tarik tali apabila dia kerap meminta agar orang ramai bersabar dengan pengumuman yang bakal dilakukan.

Hal itu seakan-akan gagal untuk menenangkan hati peminat tegar Kelantan FC yang mula mempersoalkan ketegasan Norizam untuk mempersiapkan skuad untuk 2023.

1667991

Siapakah yang bakal menggantikan Rezal Zambery musim depan? Facebook/TRW Kelantan FC

Manakan tidak, setakat ini, jawatan ketua jurulatih masih tidak diisi selepas pengendali terdahulu, Rezal Zambery Yahya menyatakan dia tidak akan mengemudi pasukan berikutan isu perlesenan.

Perkara tersebut pastinya menjadi harapan utama ketika jendela perpindahan kali ini apabila ramai berasakan skuad sesebuah pasukan perlu dibentuk mengikut acuan barisan kejurulatihan.

Dari segi pemain pula, masih tiada perkhabaran daripada pihak pentadbiran mengenai muka-muka baharu yang akan dibawa masuk bagi meningkatkan kualiti skuad sedia ada.

Ia termasuk usaha untuk menggantikan duo pemain import, Nixon Guylherme dan Felipe Hereda selepas gagal untuk memberi impak seperti mana yang diharapkan dalam saingan liga.

Bagaimanapun, melihat kepada ruangan media sosial, terdapat perkhabaran baharu yang seolah-olah dapat menyuntik nafas lega terhadap penyokong TRW.

Pemain tengah muda, Muhaimin Izuddin Muhd Asri baru-baru ini mendedahkan bahawa dia akan terus berkhidmat buat pasukan Pantai Timur itu sekurang-kurangnya untuk semusim lagi.

Muhaimin-TRW

Muhaimin menjadi antara watak penting di sebalik kemaraan Kelantan FC musim lalu. Facebook/TRW Kelantan FC

Ketika kempen Liga Perdana musim lalu, anak jati Kelantan itu menjadi antara tonggak utama pasukan apabila dia diturunkan sebanyak 12 kali dengan lapan daripadanya merupakan penampilan dari kesebelasan utama.

Meskipun tidak mencetak sebarang jaringan peribadi mahupun bantuan gol, produk skuad Projek FAM-MSN itu masih berjaya mencuri perhatian pihak kejurulatihan dengan kesungguhan yang dipamerkan setiap kali beraksi.

Bagi penyokong pula, keputusan Muhaimin untuk terus berada bersama skuad TRW musim depan adalah pilihan yang tepat, lebih-lebih lagi dengan statusnya sebagai pemain kelahiran negeri tersebut.

"Bagus dia ni dan pada saya, patutnya tawarkan kontrak jangka masa panjang. Saya nampak, dia boleh berada dalam kesebelasan utama pada usia muda dan gaya permainan kerap berubah dalam setiap perlawanan," kata Eddy Kakashi.

"Kalau dia mahukan minit pemainan, itu satu pilihan yang bagus. Sebelum ini, Mior Dani pergi Pahang, rasanya berapa kali sahaja dia bermain. Di Kelantan FC, peluang untuk dia diturunkan lebih cerah," kata Maq Mieey.

"Terbaik Muhaimin ni. Saya harap semoga dia terus meningkat naik dan berjaya untuk menjadi pemain yabg lebih berkualiti serta matang," kata Mohd Azli Bin Jaafar.

Pengumuman mengekalkan pemain berusia 20 tahun sekali gus menyaksikan Kelantan FC berjaya mengekalkan enam pemain lain untuk Liga Super akan datang termasuk kapten pasukan, Yusri Yuhasmadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram