SERAMAI 20 pemain muda berpotensi menjadi taruhan buat pengendali skuad bola sepak negara Bawah 22 tahun (B-22), E Elavarasan untuk kempen Sukan SEA 2023.
Nama-nama besar, seperti Muhkairi Ajmal dan Azam Azmi Murad pastinya menjadi sandaran untuk menamatkan penantian selama 12 tahun bagi membawa pingat emas dalam sukan berkenaan.
Selain itu, pemain baharu, terutamanya penyerang Johor Darul Takzim II (JDT II), Najmuddin Akmal pasti akan menjadi tarikan selepas kebolehannya cukup terserlah di peringkat akar umbi.
Mereka juga dikatakan mempunyai peluang yang sangat baik selepas memiliki hubungan cukup erat antara satu sama lain ketika kejohanan Piala Merlion di Singapura baru-baru ini.
Jadi, penyokong pastinya meletakkan harapan tinggi buat kesemua pemain untuk membawa pulang 'ibu segala pingat' dalam temasya yang diadakan di Kemboja kali ini.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati masing-masing, masih terdapat perasaan yang mengatakan skuad muda negara seakan-akan tidak lengkap tanpa beberapa pemain.
Rahadiazli terpaksa disisihkan selepas terlibat dengan kecederaan tangan. — Facebook/FAM
Perkara itu timbul selepas penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim dilaporkan terpaksa disisihkan berikutan kecederaan yang dialami di tangannya.
Walaupun pemain berusia 21 tahun itu dikatakan kerap melakukan kesilapan, kebolehannya untuk menghentikan percubaan pihak lawan wajar diberikan pujian.
Tetapi, Rahadiazli hanyalah seorang daripada beberapa pemain yang terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi demi lencana di dada dalam Sukan SEA 2023.
Ini kerana terdapat empat pemain lain yang tidak dibawa Elavarasan serta barisan kejurulatihannya dengan penyokong berasakan mereka mampu melakukan sumbangan cukup penting ketika temasya tersebut.
1. Arif Aiman Hanapi (JDT)
Meskipun baru sahaja berusia 20 tahun, penyerang sayap, Arif Aiman Hanapi sudah membuktikan kebolehannya bersama skuad Harimau Selatan.
Penyudah, gerakan serta personalitinya di atas padang sememangnya menyebabkan orang ramai seakan-akan lupa akan statusnya sebagai pemain dalam kategori B-22 tahun.
Ia terbukti apabila khidmatnya lebih didambakan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dengan kebolehannya dikatakan mampu membawa pasukan senior ke tahap lebih tinggi.
Penyerang itu juga dikatakan sebagai antara nama pertama yang bakal dibawa barisan kejurulatihan skuad kebangsaan untuk kempen Piala Asia 2023.
Arif sememangnya seorang pemain muda yang cukup berkualiti.
Namun, dengan usianya masih melayakkannya untuk beraksi dalam Sukan SEA, pasti terdapat beberapa soalan mengenai ketiadaannya dalam pasukan kendalian Elavarasan.
Tambahan pula, skuad B-22 hanya membawa tiga penyerang, iaitu Najmuddin, Haqimi Azim Rosli dan Fergus Tierney yang masih belum membuktikan kebolehan masing-masing.
Bagaimanapun, dengan Arif sememangnya cukup penting buat JDT musim ini, difahamkan faktor utama terhadap ketiadannya adalah kerana pihak pengurusan kelab enggan melepaskannya.
Selain itu, keputusan untuk tidak membawanya ke Kemboja dikatakan berpunca daripada percubaan barisan kejurulatihan negara bagi mengasah bakat-bakat baharu.
2. Luqman Hakim Shamsudin (Njardvik FC)
Pemain berusia 21 tahun, Luqman Hakim Shamsudin mengambil langkah berani apabila memulakan kariernya dalam bola sepak dengan berkelana ke luar negara.
Tetapi, dia sepertinya berdepan cabaran yang cukup getir apabila sukar mendapatkan minit permainan bersama kelab Belgium, KV Kortijk.
Jadi, bagi memastikan kebolehannya tidak terjejas, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memilih untuk berkelana secara pinjaman ke kelab Iceland, Njardvik FC.
Keputusan itu sepertinya tepat memandangkan dia berjaya menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan kompetetif, yang mana kembali meningkatkan kebolehannya.
Luqman pernah berpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan.
Namun, ia sepertinya tidak cukup untuk menarik perhatian Elavarasan meskipun Luqman pernah berada dalam skuad Sukan SEA 2019 di Filipina.
Jadi, dengan Haqimi merupakan satu-satunya pemain yang pernah beraksi di peringkat senior, penyokong bola sepak negara pasti akan merindui kebolehannya di atas padang.
Bagaimanapun, dengan skuad kendalian Elavarasan mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol, ia pastinya tidak menjadi satu kerisauan besar kepada mana-mana pihak.
3. Muhaimin Izuddin (Kelantan FC)
Musim ini, Kelantan FC berada di tahap mengecewakan selepas berada di tangga kedua tercorot dengan hanya empat mata dikutip selepas 10 perlawanan.
Kualiti skuad sedia ada dikatakan punca di sebalik kemerosotan itu walaupun pelaburan besar-besaran sudah dibuat sepanjang jendela perpindahan yang lalu.
Namun, di sebalik pemain yang kurang menyerlah itu, muncul seorang ubi muda iaitu Muhaimin Izudin Mohd Asri yang tampil dengan kebolehan tersendiri.
Hantaran dan ketenangannya untuk melakukan sesuatu yang istimewa di atas padang meningkatkan namanya sebagai antara pemain paling penting dalam skuad The Red Warriors (TRW) musim ini.
Muhaimin muncul sebagai prospek paling cerah Kelantan FC musim ini. — Instagram/Muhaimin Izzudin
Dalam saingan Liga Super, pemain berusia 20 tahun itu sudah diturunkan sebanyak lapan kali, namun masih belum mencatatkan sebarang bantuan jaringan.
Tetapi, kualitinya menarik perhatian ketika pertemuan dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Johor sehingga ada yang mengaitkannya ke Selatan tanah air.
Bagaimanapun, dia terpaksa menerima kenyataan bahawa Elavarasan tidak memanggilnya dalam temasya Sukan SEA berikutan lambakan pilihan di posisi yang sama.
Ia semestinya satu perkara yang sedikit mengecewakan buat penyokong Kelantan FC dengan pemain berkenaan semestinya perlu diberikan minit permainan di peringkat antarabangsa.
4. Hakimi Isa (Perak FC)
Perak FC yang dikendalikan Datuk Lim Teong Kim musim ini memilih untuk menggunakan khidmat pemain muda yang mana cukup serasi dengan falsafahnya dalam bola sepak.
Melihat kepada prestasi ketika ini, terdapat beberapa nama yang menarik perhatian meskipun skuad The Bos Gaurus (TBG) berada di kedudukan ke-11 Liga Super.
Penjaga gawang, T Shaheeshwaran dan pemain tengah, Ikhwan Hafizo merupakan antara yang sudah menjadi tonggak utama pasukan muda itu.
Bagaimanapun, pemain Perak FC II, Hakimi Isa merupakan antara ubi muda terbaik dengan perkembangannya terus menyerlah dalam saingan Piala MFL.
Hakimi pernah mencuri perhatian dengan jaringannya dalam Piala MFL. — Facebook/Perak FC
Pemain yang baru sahaja mencecah usia 22 tahun itu sebelum ini menjadi topik perbualan hangat apabila penyokong berharap agar dia diletakkan dalam skuad utama.
Namun, pandangan itu segera ditepis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang tidak mahu mengganggu rentak pertumbuhannya.
Jadi, dengan dia tidak diberikan peluang untuk beraksi dalam Sukan SEA, pasti terdapat beberapa persoalan, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong skuad TBG.
Situasi itu sepertinya sama dengan Luqman Hakim yang terpaksa akur apabila Elavarasan hanya meletakkan tiga penyerang dalam senarai 20 pemainnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram