Ini persembahan terbaik Sri Pahang setakat ini — Fandi Ahmad


  • Podium
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Sri Pahang mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ketiga Liga Super selepas 10 perlawanan. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC kembali merampas kedudukan ketiga carta Liga Super 2023 daripada Sabah FC selepas menewaskan Terengganu FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu pada Jumaat.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi seimbang, namun skuad Tok Gajah selaku pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-30.

Kegembiraan Sri Pahang tidak bertahan lama apabila penyerang import tuan rumah, Ivan Mamut berjaya menjaringkan gol penyamaan sembilan minit kemudian.

Pada minit ke-68, Sri Pahang berhasil kembali mendahului menerusi rembatan jarak jauh pemain kebangsaan, Nor Azam Azih yang menewaskan Suhaimi Hussin.

Skuad Penyu yang ketinggalan cuba bangkit melakukan serangan balas, namun gagal menembusi benteng Tok Gajah sehingga wisel penamat ditiupkan.

343757109_737244688101313_3506696033904148580_n

Fandi (kanan) jelas berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. Facebook/Sri Pahang FC

Mengulas akan kemenangan keenam mereka dalam Liga Super musim ini, ketua Jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad cukup berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun hanya menang tipis.

Katanya, untuk pertama kali musim ini, pemainnya mempamerkan corak permainan yang konsisten dari awal hingga wisel penamat dibunyikan.

Justeru, pengendali berusia 60 tahun itu berkata, pemainnya berhak diberi pujian terutama barisan pertahanan yang melaksanakan tugas paling cemerlang di hadapan lebih 10,000 penyokong skuad Sang Penyu.

"Saya rasa perlawanan malam ini adalah persembahan terbaik kita setakat ini. Biasa kita main tak konsisten, sama ada beraksi baik di separuh masa pertama atau di masa kedua.

"Tetapi hari ini kita penuh dengan disiplin, semangat juang dan berpasukan yang sangat tinggi," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Kemenangan tersebut membolehkan Sri Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan, sekali gus naik daripada tangga kelima ke kedudukan ketiga carta Liga Super musim ini dengan 22 mata.

Sementara itu pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner tidak menyalahkan pemainnya 100 peratus atas kekalahan pada Jumaat.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Croatia itu agak terkilan kerana anak buahnya gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang ke bentuk jaringan yang menyebabkan mereka tercicir tiga mata.

”Saya tidak boleh salahkan pemain kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menang. Kami juga mencipta banyak peluang namun tidak menghasilkan lebih banyak gol untuk menang,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram