[VIDEO] Bukan sahaja Wak Am, ini tiga lagi pemain pernah bersorak ketika jumpa majikan lama


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Amri (kanan) cukup dikenali dengan personaliti menghiburkan di atas padang. — Facebook/Sabah FC

AKSI Liga Super di antara Sabah FC dan Selangor FC pada Khamis sememangnya mencuri tumpuan dengan aksi yang cukup bertenaga daripada kedua-dua pasukan.

Jaringan menerusi sepakan percuma Baddrol Bakthiar pada minit ke-66 memastikan kemenangan milik skuad Sang Badak selepas Faisal Halim dan Saddil Ramdani menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing.

Kemenangan keenam yang dicatatkan kelab Borneo dalam Liga Super 2023 itu meletakkan mereka di tangga ketiga dengan hanya dua mata dibezakan dengan Selangor FC di posisi naib juara.

Namun, apa yang lebih menarik ketika aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah itu pastinya mengenai gaya keraian pemain sayap Sang Badak, Amri Yahyah.

Aksi di tepi padang Amri Yahyah mencuri perhatian ramai. Facebook/BallBola

Sejurus wisel penamat ditiup, bekas penyerang kebangsaan itu dilihat terlalu teruja dengan kemenangan meskipun hanya memanaskan bangku simpanan.

Tidak cukup dengan itu, Amri yang ketika ini menganjak usia 41 tahun seakan-akan meniru gaya sambutan Faisal Halim yang cukup terkenal di mata penyokong bola sepak tanah air.

Hal itu sememangnya merobek hati rata-rata penyokong skuad Gergasi Merah tatkala Amri pernah mewakili pasukan Lembah Klang tersebut untuk beberapa tahun.

Bagi mereka, normal buat seseorang pemain untuk tidak meraikan jaringan ataupun kemenangan dengan terlalu ghairah jika bertemu pasukan lama.

Namun, perlu diingatkan bahawa Amri bukanlah individu pertama yang melakukan perkara sedemikian dalam Liga Malaysia sehingga menarik perhatian ramai.

Melihat kepada kenangan beberapa tahun sebelum ini, terdapat tiga keadaan yang menyaksikan pemain lama tidak tersipu-sipu untuk menjaringkan gol bertemu kelab lama.

1. Syafiq Ahmad

Pada 2022, Johor Darul Takzim (JDT) memilih untuk meminjamkan penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad untuk pulang ke kelab asalnya, Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Hal itu sememangnya cukup mengujakan memandangkan dia merupakan antara pemain tempatan terbaik pernah dilahirkan kelab Utara tanah air terbabit.

Perpindahan itu juga sesuai dengan Syafiq selepas dia lebih kerap diletakkan di bangku simpanan berikutan kehadiran peledak kelahiran Brazil, Bergson da Silva.

Kepercayaan yang diberikan penyokong serta pihak pengurusan Hijau Kuning sememangnya terbalas memandangkan berjaya menjaringkan dua gol sepanjang berada bersama skuad Sang Kenari.

syafiq-2-1

Kepulangan Syafiq Ahmad ke Kedah memberi keterujaan yang amat besar. Facebook/KDA FC

Jadi, mereka sememangnya yakin bahawa hati penyerang berusia 27 tahun berkenaan masih bersama KDA FC meskipun sudah beberapa tahun meninggalkan mereka.

Namun, perasaan itu sedikit luntur selepas pertemuan antara JDT dan skuad Sang Kenari di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menyaksikan Syafiq menjaringkan dua gol.

Pemain tersebut dilihat cukup gembira dengan jaringan-jaringan tersebut memandangkan ia merupakan gol pertamanya untuk skuad Harimau Selatan pada musim itu.

Jadi, situasi itu sedikit sebanyak merobek hati penyokong Hijau Kuning yang sebelum ini cukup teruja dengan kehadiran singkatnya ke Utara tanah air.

2. Faisal Halim

Meskipun sudah menjadi antara watak penting Selangor FC musim ini, penyokong bola sepak tempatan pastinya sukar untuk melupakan momen-momen indah Faisal Halim bersama Terengganu FC pada 2022.

Enam gol serta sembilan bantuan jaringan dalam Liga Super mengangkat namanya sebagai salah seorang watak utama skuad Sang Penyu yang muncul sebagai naib juara Piala FA edisi lalu.

Bukan itu sahaja, personalitinya di atas padang juga sukar dilupakan, termasuk cara keraiannya setiap kali bola menembusi gawang gol lawan.

Tetapi, apa yang lebih menarik sepanjang tempoh kariernya di Pantai Timur adalah ketika pertembungan antara Terengganu FC dan Sri Pahang FC pada Julai tahun lalu.

Ketika aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, skuad kendalian Nafuzi Zain ketika itu diberikan sepakan penalti pada separuh masa kedua permainan.

Insiden hangat antara Faisal Halim dan Mohamadou Samassa musim lalu. Facebook/UltraSukan

Faisal yang sememangnya diberikan kepercayaan untuk mengambil tendangan itu sempat berbual dengan penjaga gol lawan, Mohamadou Samassa.

Meskipun gagal menjaringkan penalti pertama, Faisal tidak mensia-siakan peluang kedua selepas pengadil mendapati Samassa melanggar peraturan.

Usai menjaringkan gol, pemain bertubuh kecil itu bertindak melakukan serangan mental terhadap penjaga gawang tinggi lampai itu sehingga terpaksa dileraikan pemain kedua-dua pasukan.

Seperti mana yang diketahui, Faisal pernah bergelar pemain skuad Tok Gajah dengan kehadirannya pernah membantu mereka menjulang trofi Piala FA 2018.

Jadi, dia pastinya mempunyai tempat dalam kalangan penyokong memandangkan dia berkhidmat buat Sri Pahang FC selama lima tahun, iaitu dari 2016 hingga 2021.

3. Safawi Rasid

Musim ini, Safawi terpaksa mengambil langkah baharu dalam kariernya dengan menyertai kelab Thailand, Ratchaburi FC selepas terlalu kerap diletakkan di bangku simpanan JDT.

Perpindahan itu bagaimanapun kurang memberi impak dengan kapten Harimau Malaya tersebut hanya menjaringkan satu gol dalam kancah Liga 1 Thailand selepas 11 penampilan.

Jadi, terdapat kemungkinan besar bahawa dia akan pulang ke JDT meskipun mengetahui terdapat risiko dia akan kembali diletakkan di bangku simpanan.

Namun, baru-baru ini, terdapat khabar angin mengatakan Terengganu FC terbuka untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghidupkan lagi jentera serangan mereka.

Jika langkah itu direalisasikan, ia bakal menyaksikan Safawi pulang ke tanah kelahirannya di samping menyertai sebuah kelab yang berpangkalan di Terengganu.

Qsd4T698_400x400

Safawi ketika bersama T-Team yang ketika ini digelar Terengganu FC II. Twitter/Safawi Rasid

Sebelum berhijrah ke JDT pada 2017, pemain berusia 26 tahun itu terlebih dahulu menyertai T-Team yang merupakan kelab simpanan buat skuad Sang Penyu.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong negeri Pantai Timur tersebut tidak henti-henti memberi galakan kepada pemain tersebut setiap kali beraksi.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Safawi juga pernah terlibat dengan sedikit pertikaian kecil apabila dia mengambil keputusan meraikan jaringannya ketika bertemu Terengganu FC.

Perkara itu berlaku ketika aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 2020 dengan penyerang tersebut masih boleh dianggap sebagai pemain terbaik negara ketika itu.

Tetapi, dengan sudah hampir tiga tahun perkara itu terjadi, penyokong skuad Sang Penyu pastinya lebih tertarik untuk mengalu-alukan kepulangannya memandangkan jentera serangan mereka sedikit tumpul musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram