Selesai kumpul 3 mata penuh, malangnya si anak jati Pahang tak henti-henti dikritik


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Azam jadi watak penting dengan menjaringkan gol kemenangan di tempat lawan.

PASUKAN Sri Pahang berjaya membawa pulang tiga mata penuh ketika menentang skuad Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Skuad Tok Gajah mematahkan benteng pertahanan Sang Penyu dengan hasil jaringan penyerang berbisa, Kpah Sherman pada pada minit ke-31.

Jaringan terhasil akibat kecuaian pertahanan pasukan Terengganu FC yang gagal membuang bola dengan kemas di dalam kotak penalti sebelum pemain import Liberia itu meletakkan Sri Pahang FC di hadapan.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 23.27.18

Kpah berjaya meledak gol pada masa pertama ketika menentang skuad Sang Penyu.

Perlawanan boleh dikatakan sengit kerana corak permainan dengan kedua-dua pasukan cuba untuk mengawal bola dengan hantaran-hantaran berbahaya di hadapan gawang skuad Terengganu mahupun Pahang tetapi gagal disudahkan dengan kemas.

Namun begitu, pada minit ke-39, Ivan Mamut berjaya menyamakan kedudukan dengan sepakan kaki kanan yang kencang. Gol terhasil daripada lorongan Adisak Kraisorn yang berjaya memperdayakan pertahanan pasukan Sri Pahang.

Tetapi pada minit ke-68 pertahanan Sri Pahang, Azam Azih melakukan sepakan kencang melalui kaki kanan daripada jarak jauh menempatkan kedudukan Sri Pahang berada di hadapan dengan 2-1.

Kemenangan itu sememangnya cukup bermakna kerana ia meletakkan mereka terikat dengan pasukan di tangga kedua Liga Super, Selangor FC tetapi hanya dibezakan dengan jumlah mata.

Pujian juga seharusnya diberikan buat Nor Azam yang sebelum ini kerap diberikan perhatian berikutan kemerosotan dari segi permainan.

Di samping menjaringkan gol pertama peribadinya dalam liga musim ini, hantaran kemas dan bentesan tepat menjadi antara punca utama anak-anak buah Fandi Ahmad mampu melebarkan senyuman.

Bagaimanapun, rasa kurang senang masih juga diluahkan sebahagian besar peminat Tok Gajah apabila dirasakan prestasi pemain sayap, Baqiuddin Shamsudin terus merudum.

Kesilapan dalam melakukan hantaran mudah serta mencari rakan sepasukan merupakan antara perkara yang menjadi teguran terhadap pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang tersebut.

Setelah bergelut untuk mendapatkan rentak, dia akhirnya dikeluarkan bagi memberi laluan kepada seorang lagi pemain sayap Tok Gajah, Shamie Iszuan.

Tetapi, ia tidak menghalang rata-rata penyokong kelab Pantai Timur berkenaan untuk terus memberi kritikan terhadapnya di laman Facebook rasmi Sri Pahang.

"Setelah Baqiuddin dikeluarkan, barulah nampak taktikal Fandi Ahmad berbeza sedikit, apa-apa pun, tahniah untuk tiga mata," kata Mohd Zarul Mohamad Nor.

"Duo Sri Pahang, iaitu Baqiuddin dan Zuhair (Aizat) memang menggerunkan, tapi untuk pasukan sendiri. Dengan penyokong sendiri rasa cemas," kata Adnan Mohamed Suboh.

"Baqiuddin ada peluang di hadapan pintu gol, tetapi sepak terlalu tinggi sampai ke bulan. Pada minit ke-42 pula, entah ke mana-mana dia buang bola tu," kata Karim Al-Maliki.

Sri Pahang berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah sepanjang saingan Liga Super 2023 dan bakal menerima kunjungan daripada pasukan Penang FC pada 20 Mei di Stadium Darul Makmur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram