'Baju dah comel, harap gameplay cun', TFC hadir berwajah baharu lawan Sri Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Pemain TFC ketika sesi latihan sebagai persediaan menentang Pahang di SSMZA. — Facebook/Terengganu FC

DERBI Pantai Timur antara Terengganu FC (TFC) dan Sri Pahang FC diramal sengit dan menjadi perlawanan tumpuan bagi aksi ke-10 Liga Super 2023 yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada malam ini.

Kedua-dua pasukan pasti memberikan segala kudrat untuk meraih tiga mata susulan ia adalah peluang untuk memperbaiki kedudukan dalam liga terutamanya skuad Penyu yang kini berada di tangga kelapan.

Dengan hanya mengumpul 13 mata keseluruhan dalam sembilan perlawanan dan tewas empat kali, ia jelasnya bukanlah prestasi baik bagi naib juara Liga Super 2022 itu.

Menjelang perlawanan menentang skaud Tok Gajah, pasukan bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner dijangka hadir dengan wajah baharu yang mana mereka akan memakai jersi ketiga musim ini.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 17.27.12

Jersi ketiga TFC pada musim ini.

Jersi rasmi ketiga skuad Sang Penyu itu menggunakan warna emas sebagai warna asas untuk jersi ini dan terdapat beberapa unsur lain yang mempunyai maksud kepada negeri tersebut.

Antara unsur utama yang telah dimasukkan dalam jersi ini adalah unsur 8 daerah yang telah membentuk penyatuan negeri Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan juga Kemaman.

Susulan pelancaran jersi ketiga itu, ramai penyokong yang berharap agar corak permainan TFC dibuat secantik baju berkenaan dan mampu menundukkan Tok Gajah di SSMZA.

“Baju dah comel, harap corak permainan itu ubah bagi comel jugalah,” komen penyokong TFC, Syed Amar.

“Baju lawa, permainan pun biar lawalah,” kata seorang lagi penyokong Sang Penyu, Perantau Sebelas.

Untuk rekod, skuad Penyu mudah menewskan Sri Pahang dalam saingan liga dengan kemenangan 2-1 pada aksi pusingan pertama dan kedua pada Liga Super musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram