TIGA mata yang berjaya dibawa pulang Sabah FC ketika menerima kunjungan Selangor FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada Khamis cukup membanggakan.
Selepas bergelut di tempat lawan pada awal April, kepulangan mereka ke Stadium Likas, Sabah sememangnya memainkan peranna penting ketika ini.
Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut mereka, termasuk kejayaan ke atas Kelantan United FC yang membantu pasukan Borneo itu melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA.
Malah, tiga mata yang diraih itu turut menyaksikan skuad Sang Badak mendaki carta Liga Super ke tangga ketiga sementara Sri Pahang FC bakal beraksi pada Jumaat.
Keseronokan itu pastinya dirasai rata-rata peminat Sabah FC yang sebelum ini sedikit gusar dengan prestasi pasukan yang bergelut di peringkat domestik.
Bukan itu sahaja, kemenangan itu turut menyaksikan dua figura penting, iaitu Saddil Ramdani dan Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol yang menyemarakkan suasana di stadium ketika pertembungan hangat itu.
Namun, keterujaan itu bukan sahaja dirasai penyokong apabila rakaman seusai wisel penamat ditiup menunjukkan pemain paling senior Sang Badak, Amri Yahyah diselubungi perasaan gembira.
Dia yang sememangnya dikenali sebagai watak penghibur dilihat menyambut kemenangan itu dengan meniru gaya keraian gol seperti penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim.
Gaya itu cukup menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan, terutamanya pengikut setia Sabah FC yang tidak henti-henti berkongsi video pendek tersebut.
Bagaimanapun, ia seperti sesuatu yang sukar diterima peminat setia skuad Gergasi Merah memandangkan pemain berusia 42 tahun itu pernah digelar legenda Selangor FC.
Amri meraikan kemenangan bermakna Sabah FC di laman sendiri. — Facebook/En Zarin
Di samping merupakan graduan akademi kelab Lembah Klang itu, Amri sebelum ini cukup disegani dengan statusnya sebagai anak jati Tanjung Karang, Selangor.
Jadi, tidak hairanlah apabila cara keraian bekas pemain kebangsaan itu lebih hangat diperkatakan berbanding kekalahan kedua skuad Gergasi Merah musim ini.
"Pedih hati tengok orang kampung sendiri menganjing pasukan kesayangan saya, apalah agaknya masalah Amri dengan Selangor FC," kata Mohd Daud.
"Padam sahaja namanya daripada senarai legenda Selangor, sejak sertai Johor Darul Takzim (JDT) pada 2013, sudah berubah perangainya," kata Muhammad Rohib Rohib.
"Mungkin dia ada masalah dengan pengendali sebelum ini, tetapi tidak perlu rasanya memerli pasukan yang pernah menaikkan kariernya," kata Dynn Wie.
Dalam aksi tersebut, Amri yang juga dikenali sebagai Wak Am tidak diturunkan, namun dia turut menjadi perhatian seperti ketika melakukan protes terhadap pengadil keempat perlawanan.
Sebelum ini, gaya keraian gol Faisal Halim juga pernah menjadi bahan perhatian pihak lawan ketika pertemuan antara JDT dan Selangor FC di Stadium MBPJ, Selangor.
Pemain sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi dikatakan meniru cara tersebut meskipun ada pihak mengatakan ia tidak ubah daripada gaya penyerang Brazil mereka, Bergson da Silva. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram