Tambahan masa hingga minit ke-100: Kim Swee akui jantungnya bagai nak luruh


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Kim Swee tetap mempertahankan gol kemenangan pasukannya di sebalik ada yang mempertikaikan keputusan pengadi. — Facebook/SabahFC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

PERNAH berlaku ke atasnya sekali sebelum ini, Datuk Ong Kim Swee mengakui detik-detik penghujung perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Rabu sangat mencemaskannya terhadap kemungkinan apa yang ditakutinya boleh berulang.

Mendahului 2-1 ke atas Selangor FC hasil sepakan percuma kapten, Baddrol Bakhtiar, pada minit ke-67, ketua jurulatih Sabah FC itu bagaikan tidak percaya permainan melewati masa pemberhentian lima minit yang diberikan.

“Setiap minit tambahan itu membuat jantung saya bagai nak luruh,” ceritanya kepada Laptop Cabuk mengenai tambahan masa permainan yang kesudahannya ditamatkan pada kiraan 100:20 mengikut paparan pada skrin televisyen.

Malah, melewati tambahan lima minit masa pemberhentian sebelum itu, Kim Swee dilihat sudah pun mendatangi pegawai perlawanan keempat di tepi padang untuk mengingatkannya mengenai tambahan masa yang sepatutnya sudah pun berakhir.

Memasuki minit ke-90 permainan sebelum itu, pegawai perlawanan sudah memaparkan tambahan masa pemberhentian selama lima minit.

Harus tidak salah pun perbuatannya itu di atas rasa serik terhadap tambahan masa luar biasa seumpamanya mendatangkan kerugian besar buat Sabah semata-mata atas apa yang dilihatnya sebagai ketidakadilan.

Sudah tentu dia merujuk kepada kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada 15 Julai tahun lalu hasil sepakan percuma Fernando Forestieri enam minit dalam masa pemberhentian, yang mencetuskan rusuhan penonton gara-gara tidak berpuas hati dengan kelewatan permainan ditamatkan.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 19.05.15

Sabah FC ketika seri 1-1 ketika aksi Liga Super pada 10 April lalu. — Facebook/SabahFC

Kebetulan, dua bulan terdahulu, JDT mengatasi Negeri Sembilan FC 1-0 di Paroi, juga pada minit terakhir selepas masa pemberhentian ketika itu dilanjutkan selama 10 minit.

Menyusuli tindakannya mengingatkan pegawai perlawanan keempat pada penghujung perlawanan malam tadi, Kim Swee sebaliknya menarik Amri Yahyah apabila pemain veterannya itu berbuat yang sama.

“Saya buat begitu kerana saya tidak mahu apa-apa masalah lagi dengan pengadil. Kami sudah menyatakan bantahan kami kepada pengadil simpanan, cukuplah setakat itu,” kata jurulatih berusia 52 tahun itu yang dilayangkan kad merah ketika perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan, 12 Mac lalu gara-gara mempertikaikan keputusan pengadil.

Dalam pada itu, Kim Swee tetap mempertahankan gol kemenangan pasukannya di sebalik ada yang mempertikaikan keputusan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir, menghadiahkan sepakan percuma sedikit di luar penjuru kiri kotak penalti pasukan pelawat.

Sebilangan peminat skuad Gergasi Merah itu menggunakan media sosial untuk mempertikaikan keputusan pengadil selepas berlakunya perebutan bola di antara Daniel Ting (Sabah) dan Zikri Khalili (Selangor) yang didakwa mereka tiada berlaku sebarang kekasaran.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 19.05.18-2

Saddil menjadi penjaring pertama pada aksi menentang Selangor. — Facebook/SabahFC

“Jika sepakan percuma itu dipertikaikan, mungkin mereka berasakan tiada sebarang sentuhan. Tapi jika dilihat dari sudut berbeza, ada sentuhan berlaku. Benda itu berlaku betul-betul di depan tempat saya berdiri dan saya lihat ada kesalahan dilakukan.

“Jika hendak bercakap fasal keputusan pengadil, ada banyak keputusan lain juga yang boleh dipertikaikan. Ada keputusan yang ada kalanya menguntungkan kita, ada kalanya pula tidak,” katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu dalam analisisnya berkata, pemain-pemainnya dapat mengekang lawan daripada bermain secara bebas sepanjang 30 minit pertama hingga merencatkan Selangor FC daripada melancarkan serangan bertali arus.

“Kami tahu jika kami boleh merantai trio midfield mereka – Noor Al-Rawabdeh, Brendan Gan dan Alexander Agyarkwa – maka kami boleh mencapai sesuatu.

“Pemain-pemain saya menunjukkan karakter dengan mencipta banyak peluang dalam separuh kedua, cuma kami patut ‘membunuh’ perlawanan ini lebih awal. Ini harus jadi pengajaran buat kami untuk perlawanan-perlawanan mendatang,” katanya.

Apa pun, Kim Swee mengakui berasa gembira dengan kemenangan malam tadi kerana ia melonjakkan The Rhinos ke tangga ketiga liga selain rekod pertemuan Sabah FC-Selangor FC yang masih jauh memihak pasukan pelawat itu.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 19.05.19

Sepakan percuma dari Baddrol membuatkan Sabah meraih tiga mata di laman sendiri. — Facebook/SabahFC

Satu hantaran Facebook/Selangor FC memaparkan daripada 73 pertemuan di antara kedua-dua pasukan sebelum malam tadi, Selangor menang 37 dan seri 15 manakala Sabah pula menang 21.

Menepati apa yang disasarkannya, Sabah FC juga kini berupaya merapatkan jurang dengan pasukan jagoan Lembah Klang itu kepada hanya dua mata.

“Kami ada dua lagi perlawanan di tempat sendiri menentang Terengganu dan Perak dalam baki pusingan pertama ini.

“Kami sasarkan untuk terus kekalkan rekod 100 peratus di Stadium Likas untuk kekalkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas,” tambahnya.

Ditanya apa kunci kemenangan pasukannya daripada pesanannya di dalam bilik persalinan, Kim Swee berkongsi sebagaimana berikut: “Saya beritahu pemain jika kami dapat keputusan yang baik, mereka akan dapat cuti panjang.

“Jika tidak, mereka hanya ada rehat singkat sebelum kami sambung latihan.”

Tidak hairanlah The Rhinos benar-benar meraikan kemenangan mereka sejurus usai perlawanan.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 19.05.18

Amri menjadi bualan penyokong apabila membuat gaya 'Siuuu' yang cukup sinonim dengan pemain Selangor FC, Faisal Halim. — Facebook/SabahFC

Tidak terkecuali Amri yang caranya meraikan tiga mata itu di garis tepi padang dikatakan menganjing pegawai dan penyokong Selangor – pasukan yang terdahulu ditinggalkannya dengan nada kecewa.

Sabah akan turun beraksi lagi dengan melayani kunjungan Terengganu FC pada 19 Mei nanti. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram