HANGAT diperkatakan di media sosial ketika ini mengenai usaha Johor Darul Takzim (JDT) yang sedang berusaha mendapatkan penyerang sensasi dunia, Radamel Falcao.
Pemain antarabangsa Colombia itu sememangnya cukup digeruni ketika zaman kemuncaknya, lebih-lebih lagi semasa dia mewakili kelab Sepanyol, Atletico Madrid dan pemenang Liga Juara-juara UEFA sebanyak dua kali, FC Porto.
Namun, sejak mengalami kecederaan ligamen krusiata anterior (ACL) pada 2014, kemampuan penyerang bertubuh sasa itu semakin berkurangan memandangkan dia amat bergantung kepada kelajuannya menggelecek bola.
Kemerosotan dari segi prestasi tersebut menyaksikannya menyertai beberapa kelab ternama Eropah, termasuk Manchester United dan Chelsea secara pinjaman, namun gagal membuahkan sebarang hasil.
Jadi, dengan usianya sudah mencecah 37 tahun, Falcao sepertinya lebih berminat untuk mencari angin baharu sebelum menamatkan kariernya pada bila-bila masa sahaja.
Menyedari peluang itu, JDT yang sememangnya menekankan aspek capaian global sejak diperkenalkan pada 2012 memilih untuk menyatakan hasrat mereka untuk menandatangani pemain berkenaan.
Falcao dikatakan semakin hampir untuk menyertai JDT pada jendela perpindahan akan datang.
Walaupun ada yang berpendapat penyerang berketinggian 1.77 meter (m) itu hanya akan dilantik sebagai duta kelab, ia tidak menghalang keterujaan dalam kalangan penyokong Harimau Selatan.
Ia juga bukanlah satu perkara baharu buat pasukan Selatan tanah air itu mendapatkan bintang ternama bola sepak apabila mereka juga pernah membawa masuk beberapa nama besar yang lain, seperti Pablo Aimar dan Dani Guiza.
Bagaimanapun, JDT bukanlah pasukan pertama yang berjaya mendapatkan pemain dengan reputasi seperti Falcao memandangkan terdapat tiga kelab Liga Super lain pernah membawa masuk seorang penyerang cukup disegani.
Melihat kepada sejarah import dalam arena bola sepak tanah air, berikut merupakan pasukan yang berjaya memperkenalkan nama-nama besar dengan suasana meriah Liga Malaysia.
1. Kedah FA (Shane Smeltz)
Pasukan Utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan salah satu kelab yang lebih gemar menggunakan khidmat penyerang import berbanding memberi kepercayaan kepada pemain tempatan.
Musim ini sahaja, mereka mengambil keputusan mendapatkan tiga penyerang luar negara ketika jendela perpindahan lalu bagi membaiki masalah ketumpulan jentera yang dihadapi musim lalu.
Namun, pelaburan secara besar-besaran itu sepertinya masih belum mendapat tempat dalam hati penyokong Hijau Kuning kerana sumbangan masing-masing masih belum memacu skuad Sang Kenari ke tahap lebih tinggi.
Bagi mereka, pihak pengurusan sepatutnya bertindak lebih cemerlang setiap kali jendela perpindahan dengan menandatangani seseorang yang berkaliber seperti bekas penyerang Kedah FA, Shane Smeltz.
Dibawa masuk dari Sydney FC pada 2016, pemain berketinggian 1.85 m tersebut mempunyai reputasi cukup besar selepas menjaringkan gol ketika kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Smeltz (kiri) ketika menjaringkan gol tunggalnya dalam kempen Piala Dunia 2010. — Agensi
Menariknya, jaringan tunggalnya dalam kejohanan berprestij berkenaan terhasil ketika bertemu Itali yang menyebabkan juara pada edisi sebelum itu berada di kedudukan tercorot Kumpulan F.
Bagaimanapun, pemain antarabangsa New Zealand itu sepertinya tidak terkesan dengan tekanan daripada reputasi itu selepas dia menjadi watak penting buat skuad Sang Kenari pada musim berkenaan.
Enam gol yang dijaringkan dalam saingan Liga Super membantu mereka menduduki tangga ketiga sebelum lima lagi yang diperolehi dalam saingan Piala Malaysia membantu mereka muncul juara buat kali kelima.
Namun, dengan tekanan dari segi kewangan, Smeltz akhirnya memilih untuk kembali ke tanah kelahirannya sebelum menyertai Wellington Phoenix pada Disember 2016.
Walaupun tidak menikmati satu tempoh yang cukup panjang bersama Kedah FA dan Liga Malaysia, reputasi penyerang itu semestinya sukar dilupakan penyokong bola sepak tanah air.
2. Sabah FC (El Hadji Diouf)
Liverpool, Rangers dan Leeds United merupakan antara kelab yang pernah diwakili penyerang terkenal Senegal, El Hadji Diouf dalam kariernya yang bermula sejak 1998.
Meskipun statistiknya di peringkat kelab tidaklah begitu memberangsangkan, namanya sering disebut-sebut setiap kali beraksi buat negara, termasuk ketika kempen Piala Dunia 2002.
Selepas persembahan menakjubkan di mata dunia itu, Diouf diangkat sebagai salah seorang prospek terbaik sehingga pihak FIFA menamakannya antara pemain terbaik kejohanan.
Bagaimanapun, meskipun memiliki permulaan karier yang cukup baik, masalah disiplin serta kontroversi di luar padang menjejaskan kariernya sehingga dia beberapa kali terpaksa berpindah-randah antara pasukan.
Diouf mencipta nama selepas menyertai Liverpool sejurus tamat kempen Piala Dunia 2002. — Agensi
Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila dia yang ketika itu masih bersama Leeds United di divisyen bawahan bola sepak England memilih untuk keluar dari Eropah pada 2014.
Diouf yang ketika itu baru sahaja berusia 33 tahun memilih untuk menyertai Sabah FA yang berada di Liga Perdana, sekali gus mengejutkan ramai pihak atas keputusannya itu.
Pengalamannya yang cukup luas dalam dunia bola sepak memaksa pihak kejurulatihan untuk memberikannya lilitan tangan kapten dengan harapan sumbangannya mampu membawa mereka kembali ke Liga Super.
Tetapi, penyerang yang juga boleh beraksi di posisi sayap itu melakukan yang sebaliknya apabila dengan terbuka mengatakan dia lebih tertarik untuk menyertai gergasi bola sepak negara, JDT meskipun tidak diberikan sebarang bayaran.
Hal itu sememangnya cukup memberi kesan terhadap pihak pengurusan kelab Borneo terbabit yang akhirnya melucutkannya daripada tugasan kapten dengan serta merta.
Walaupun kariernya tidaklah terlalu membanggakan, statusnya sebagai seorang bintang ternama sedikit sebanyak menaikkan nama Sabah FA selain bola sepak negara.
3. Selangor FA (Tony Cottee)
Melihat kepada perbincangan mengenai Diouf dan Smeltz di atas, kedua-dua mereka mempunyai persamaan ketara apabila memilih untuk ke Liga Malaysia memasuki tahun-tahun akhir sebagai pemain bola sepak.
Namun, kisah sebaliknya pula berlaku kepada bekas penyerang skuad kebangsaan England, Tony Cottee yang mengambil keputusan menyertai Selangor FA dengan usianya baru sahaja 31 tahun.
Dia yang dikatakan sebagai antara peminat setia kelab London, West Ham pernah mendedahkan bahawa keputusan untuk menyertai skuad Gergasi Merah cukup berat untuk diambil.
Tetapi, ia boleh dikatakan sebagai satu langkah yang berbaloi buatnya apabila pasukan Lembah Klang itu muncul sebagai juara Piala FA 1996 selepas mendudukkan Sabah FA.
Cottee pernah berpeluang berkhidmat buat skuad The Three Lions sebanyak tujuh kali. — Agensi
Bagaimanapun, jodoh Cottee bersama Selangor tidak berpanjangan apabila dia dikhabarkan tidak begitu gembira sepanjang beraksi di bumi Malaysia dengan beberapa alasan diberikan.
Dia kemudiannya memilih untuk kembali ke tanah kelahirannya untuk menyertai Leicester City sementara skuad Gergasi Merah terus merekodkan kejayaan demi kejayaan.
Untuk rekod, penyerang bertubuh tegap tersebut merekodkan satu pulangan gol yang cukup membanggakan dengan 14 jaringan diperolehi daripada hanya 24 perlawanan dalam kesemua kejohanan.
Meskipun nama Cottee tidaklah begitu megah sekiranya hendak dibandingkan dengan kesemua pemain dalam senarai di atas, ia membantu penyokong bola sepak antarabangsa mengetahui akan perkembangan Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram