PENYOKONG Johor Darul Takzim (JDT) hampir pasti dapat melihat bintang Colombia, Radamel Falcao apabila pemain itu dipercayai selangkah lagi menyertai kelab Harimau Selatan.
Perkembangan terkini itu dikongsikan menerusi ciapan terbaharu yang dimuat naik pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitter miliknya, pada Khamis.
Menerusi ciapan tersebut, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menyatakan akan berjumpa dengan bekas penyerang Atletico Madrid dan Manchester United itu.
"Jumpa anda dalam masa terdekat," tulis TMJ dengan meletakkan tag pada akaun Twitter milik Falcao dan ejen bola sepak, Morris Pagniello.
Tangkap layar ciapan TMJ pada Khamis. — Twitter
TMJ turut menyertakan perkataan JDT31 yang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong mengenai nombor tersebut.
Sebelum ini, media sukan utama Sepanyol, Marca melaporkan Falcao, 38, bersedia untuk menyertai JDT yang juga juara Liga Super sembilan kali berturut-turut.
TMJ dilaporkan mahu menandatangani khidmat Falcao yang digelar 'El Tigre' untuk tempoh dua musim sehingga 2025.
Dilaporkan, selepas kontraknya sebagai pemain berakhir di JDT, Falcao akan terus diberi tugas menjadi sebahagian daripada pengurusan skuad Harimau Selatan dengan menjadi duta kelab JDT di peringkat antarabangsa.
Khidmat Falcao sebelum ini turut pernah mewarnai beberapa kelab utama Eropah lain antaranya AS Monaco dan Porto. — Agensi
Malah, khabar angin itu turut mendapat reaksi ketua jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari yang tidak menolak kemungkinan Falcao bakal memperkuatkan pasukan itu pada jendela perpindahan kedua musim ini.
Pengendali Argentina itu dilaporkan berkata, pihaknya hanya menunggu 'lampu hijau' daripada TMJ bagi merealisasikan perpindahan berkenaan.
Di Twitter, ada penyokong yang meneka kemungkinan Falcao dibawa masuk ke JDT sebagai duta kelab elit tersebut.
Ini mungkin kerana faktor usia pemain itu yang sudah mencecah 38 tahun, iaitu umur yang dianggap sebagai kuda tua dalam bola sepak.
"Falcao bakal jadi duta JDT ke? Siap Tunku sendiri yang tag. Ni mesti ada sesuatu. Mohon kongsikan lebih banyak butiran mengenai perkara ini, kami penyokong JDT nak tahu juga," tulis Noor Zatul Aida.
Falcao kini masih mempunyai kontrak bersama pasukannya, Rayo Vallecano sehingga Jun ini. — Agensi
Jika bukan sebagai duta sekalipun, tidak mustahil Falcao menyertai JDT untuk memperkuatkan bahagian serangan Harimau Selatan, lebih-lebih lagi pasukan itu akan bersaing di kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Pada musim ini, JDT menandatangani Diogo dos Santo yang berusia 35 tahun untuk mengemudi bahagian serangan di samping Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman.
Diogo membuktikan usia bukan penghalang untuk beraksi lincah di depan gawang apabila sudah meledak empat gol setakat ini.
Dalam pada itu, semakan Majoriti di transfermarkt.com kelab JDT juga mendapati tiada pemilik jersi bernombor 31 di pasukan tersebut ketika ini, yang mungkin memberi signifikan ada kemungkinan Falcao menyarung nombor berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram