Kehadiran Falcao bikin JDT setaraf Valencia


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Khidmat Falcao sebelum ini turut pernah mewarnai beberapa kelab utama Eropah lain antaranya AS Monaco dan Porto. — Agensi

DESAS-desus kemungkinan kehadiran penyerang kebangsaan Colombia, Radamel Falcao ke kancah Liga Super dilihat semakin hampir menjadi realiti selepas media Sepanyol mengesahkan bintang La Liga itu menunjukkan minat terhadap tawaran dibuat oleh Johor Darul Takzim (JDT) untuk mendapatkan tandatangan bekas peledak Manchester United dan Chelsea itu.

Menurut laporan Marca, selain JDT, Falcao, 37, yang kini bersama Rayo Vallecano itu turut sedang diintai kelab La Liga, Valencia.

Ini bermakna, Falcao sedang mempertimbangkan mana-mana tawaran yang lebih baik sama ada daripada JDT ataupun Valencia.

Difahamkan, sekiranya perpindahan ke JDT itu berjaya direalisasikan, beliau yang juga pernah menjadi tonggak utama gergasi kelab Eropah, Atletico Madrid itu akan bersama skuad Harimau Selatan selama dua musim.

Menerusi kontrak berkenaan, dia juga akan memainkan peranan selaku duta untuk kelab JDT yang merupakan juara Liga Super sepuluh musim berturut-turut.

Laporan tersebut menyatakan, Falcao yang masih mempunyai kontrak dengan pasukannya sehingga Jun depan dilaporkan sedang menilai tawaran tersebut.

3244221-66401688-2560-1440

Falcao kini masih mempunyai kontrak bersama pasukannya sehingga Jun ini. — Agensi

Dengan perkembangan tersebut, Falcao berkemungkinan akan menyertai JDT semasa jendela perpindahan kedua Liga Super 2023.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama JDT dikaitkan dengan Falcao, malah pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim turut pernah menghubungi pemain itu pada Ogos 2021.

Bagaimanpun, JDT pada ketika itu menafikan membuat tawaran kepada penyerang tersebut yang turut pernah beraksi bersama kelab gergasi England iaitu Manchester United dan Chelsea.

Khidmat Falcao sebelum ini turut pernah mewarnai beberapa kelab utama Eropah lain antaranya AS Monaco yang beraksi di Ligue 1 dan Porto (Liga Portugal).

Dia mempunyai rekod yang memberangsangkan ketika bermain di La Liga dengan mencatatkan 60 jaringan manakala Ligue 1 (65 jaringan) dan Liga Portugal (41 jaringan).— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram