Falcao cuma boleh ‘join’ Harimau Selatan lepas Jun, bakal jadi duta JDT


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

TMJ sememang­nya cukup berminat untuk mendapatkan khidmat Falcao dengan ‘khabar angin’ bertiup kencang sejak 2021 lagi. — Agensi

PENYERANG kebangsaan Colombia, Radamel Falcao dilaporkan hampir pasti menyertai skuad Johor Darul Takzim (JDT) selepas kontraknya bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano berakhir Jun depan.

Menurut laporan media sukan utama Sepanyol, Marca, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dilaporkan mahu menandatangani khidmat Falcao yang digelar 'El Tigre' untuk tempoh dua musim sehingga 2025.

Selepas kontraknya sebagai pemain berakhir di JDT, Falcao akan terus diberi tugas menjadi sebahagian daripada pengurusan skuad Harimau Selatan dengan menjadi duta kelab JDT di peringkat antarabangsa.

Penyerang berusia 38 tahun itu dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk mengembangkan kariernya ke arena bola sepak Asia buat kali pertama selepas berkelana di Eropah sejak 2009.

TMJ sememangnya cukup berminat untuk mendapatkan khidmat Falcao dengan ‘khabar angin’ bertiup kencang sejak 2021 lagi.

Perkara itu turut pernah didedahkan oleh media sukan Turki sewaktu penyerang yang diberi gelaran El Tigre itu mewakili kelab Galatasaray sebelum membuat keputusan untuk berhijrah ke Vallecano.

Falcao sebelum ini dianggap salah seorang penyerang berkelas dunia selepas mewakili beberapa kelab utama seperti River Plate, FC Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, Manchester United, Chelsea dan Galatasaray.

Namun, prestasi Falcao ketika bermain bersama United dan Chelsea telah dikritik hebat susulan kegagalannya untuk menyesuaikan diri dengan kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagi saingan musim ini, Falcao juga tidak berjaya mempamerkan prestasi yang diharapkan apabila hanya meledak dua gol dalam 18 perlawanan liga, tetapi Vallecano dilihat masih mampu bersaing apabila menduduki kedudukan keenam La Liga ketika ini

JDT yang dikendalikan oleh Esteban Solari pula sudah memiliki lapan pemain import musim ini terdiri daripada Jordi Amat, Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Diego Luis Santo, Shane Lowry, Juan Muniz, Oscar Arribas dan Fernando Forestieri.

Jendela perpindahan Liga Malaysia pula akan kembali dibuka bermula 5 Julai hingga 1 Ogos depan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram