'Bos sedang usahakan', Solari buka mulut gosip perpindahan Falcao ke JDT


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Solari bagaimanapun enggan memberi komen lanjut mengenai khabar angin tersebut. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEMASUKAN penyerang Colombia, Radamel Falcao dijangka menguatkan lagi Johor Darul Takzim (JDT), kata ketua jurulatih, Estaban Solari.

Susulan khabar angin yang mengaitkan pemain Piala Dunia 2018 itu dengan skuad Harimau Selatan, Solari mengesahkan bahawa pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sedang mengusahakan pengambilan Falcao.

"Kami sedang menunggu, saya tidak boleh beritahu apa-apa lagi, bos kami akan putuskan hal ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) pada Rabu.

Menurut laporan surat khabar Sepanyol, Marca, Falcao yang masih mempunyai kontrak dengan pasukan La Liga, Rayo Vallecano hingga Jun ini, sedang mempertimbangkan untuk menandatangani kontrak dengan JDT.

Laporan itu turut menyatakan JDT berkemungkinan mengikat Falcao untuk dua musim sebelum menjadikan penyerang berusia 37 tahun itu duta bagi kelab tersebut serta negeri Johor selepas persaraannya.

Jika perjanjian itu berhasil, Falcao akan membuat penampilan di Liga Super selepas jendela perpindahan pemain kedua dari 5 Julai hingga 1 Ogos.

Sementara itu, sebuah lagi kelab La Liga, Valencia yang dimiliki ahli perniagaan Singapura, Peter Lim juga dilaporkan berminat untuk mengambil Falcao yang pernah mewakili Manchester United pada musim 2014-2015 secara pinjaman dari AS Monaco.

JDT berkemungkinan menjadi kelab ke-10 Falcao selepas dia mencipta nama dengan kelab-kelab terkemuka dunia termasuk River Plate, FC Porto, Atletico Madrid, Chelsea dan Galatasaray.

Selain itu, dia juga pernah memenangi dua kejohanan Liga Eropah dengan Porto pada musim 2010-2011 dan Atletico Madrid (2011-2012), selain membantu Atletico Madrid merangkul Piala Super UEFA pada 2012

Dalam perlawanan kedua Liga Super, juara sembilan kali Liga Super itu menundukkan KL City FC 3-0 menerusi gol sendiri Romel Morales pada minit ke-41 selain jaringan Endrick Dos Santos dan Arif Aiman Hanapi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram