HASRAT penyokong Johor Darul Takzim (JDT) melihat kelibat penyerang sensasi bertaraf dunia dari Colombia, Radamel Falcao bersama skuad Harimau Selatan dilihat seakan-akan hampir menjadi nyata dalam masa terdekat.
Media Sepanyol, Marca melaporkan bekas penjaring utama gergasi kelab Eropah, Atletico Madrid itu kini sedang mempertimbangkan tawaran menyertai JDT yang merupakan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
Difahamkan, tawaran berkenaan melibatkan perjanjian untuknya yang kini berusia 37 tahun bagi beraksi selama dua musim di samping memainkan peranan sebagai duta kelab.
Perkembangan tersebut pastinya memberikan keterujaan buat penyokong skuad Merah Biru selepas beberapa berita mengenai penghijrahan pemain itu sebelum ini tidak menjadi kenyataan.
Hadir dengan nama besar, kehadiran beliau tentunya akan menyumbang elemen baharu terhadap skuad JDT khususnya melalui pengalaman luas dimilikinya ketika beraksi di peringkat tertinggi.
Kelibat Falcao juga dilihat memantapkan lagi barisan penyerang skuad Harimau Selatan terdiri daripada antaranya Diogo Luis Santo, Bergson da Silva, Ahmad Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad.
Dengan melihat kepada deretan nama tersebut, pengendali JDT, Esteban Solari pastinya mempunyai banyak pilihan untuk mempersiapkan barisan hadapan bagi menghadapi pelbagai kejohanan yang bakal dihadapi skuadnya.
Kelibat Falcao juga dilihat memantapkan lagi barisan penyerang skuad Merah Biru.—Facebook/JohorSoutherTiger
Dalam pada itu, ada daripada kalangan peminat berpandangan kehadiran Falcao berpotensi untuk membantu skuad Hariamu Selatan bagi mara lebih jauh dalam musim baharu kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023.
Malah lebih mengujakan, mereka turut menimbulkan kemungkinan potensi untuk JDT beraksi menentang bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo yang kini beraksi di kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
"Tahniah Falcao, berjaya join kelab terbesar ASEAN. Boleh jumpa CR7 dekat ACL tahun ini," kata Addie Ruvy Winchyster.
"JDT akan ke separuh akhir ACL tahun ini," tulis Ba Yon.
Pada masa sama, terdapat juga berpandangan bahawa kehadiran Falcao hanya akan menyesakkan lagi barisan hadapan skuad Harimau Selatan yang kini sudah dipenuhi dengan import penyerang sedia ada.
"Berapa ramai import nak letak dekat bahagian depan tu. Takkan nak main formasi 3-1-6," ujar Ariffin Jamal.
Bagaimanapun, ada antara peminat berpendapat terdapat sisi lain daripada perpindahan tersebut yang dapat memberikan manfaat kepada skuad JDT secara keseluruhannya.
"Pengaruh dan pengalaman dia berguna untuk pemain muda JDT," ulas Mohd Hafizi Hidzil.
"Dia ni macam CR7, pergi Arab, bukan prestasi dia yang ditagih, tapi pemasaran. Tarik lebih ramai orang untuk pandang kelab-kelab Asia ini, sekali gus tarik penaja," kata Mohamad Firdaus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram