Import baharu Selangor segak berbaju Melayu, tidak sabar sambut Aidilfitri di Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 25 Apr 2023

Salifu (kanan) akui kehadiran majoriti pemegang agama Islam memudahkannya menyesuaikan diri di Malaysia. — Facebook/Selangor FC

MESKIPUN lebih kerap diturunkan sebagai pemain simpanan, penyerang muda skuad Gergasi Merah, Rauf Salifu dilihat sudah berjaya menyesuaikan diri dalam Liga Super.

Dua gol yang dijaringkan ketika pertemuan antara pasukannya dan Kelantan FC di Stadium MBPJ, Selangor 9 April lalu menjadi bukti kebolehannya semakin terserlah.

Selain bijak meletakkan diri dalam posisi terbaik, ketenangannya untuk menyudahkan peluang terus diberikan pujian, termasuk daripada pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe.

Pemain yang hadir dari kelab berpangkalan di Ghana, Accra Lions itu sebelum ini tidaklah terlalu menarik perhatian memandangkan mereka sudah mendapatkan seorang lagi penyerang, Ayron del Valle lebih awal.

Namun, dua gol yang dijaringkan ketika bertemu skuad The Red Warriors (TRW) meletakkan namanya di bibir penyokong skuad Gergasi Merah.

WhatsApp Image 2023-04-19 at 15.42.57

Salifu ketika menjaringkan gol menentang Kelantan FC. Facebook/Selangor FC

Ini termasuk beberapa cadangan yang mengharapkannya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap bagi meningkatkan lagi ketajamannya di hadapan pintu gol lawan.

Pandangan tersebut dikuatkan lagi dengan status Rauf yang merupakan seorang pemain beragama Islam seperti mana dilihat ketika dia meraikan jaringan peribadinya ketika menentang Kelantan FC.

Usai melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Rohaizi Rahamat pada minit ke-80, pemain berusia 20 tahun berkenaan terus berlari ke tepi padang untuk meraikannya dengan cara bersujud.

Gaya itu sekali lagi dipamerkan ketika jaringan keduanya pada malam tersebut yang mana sedikit sebanyak menjawab teka-teki orang ramai mengenai latar belakangnya.

Jadi, dengan statusnya sebagai seorang Muslim sudah diketahui, pasti penyokong bola sepak tanah air semakin tertarik untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.

Tarikan itu diperkuatkan lagi dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir dengan Rauf lebih kerap berada di kampung halaman setiap kali musim perayaan.

WhatsApp Image 2023-04-19 at 15.29.49

Salifu sempat mengenakan baju Melayu sebelum sambutan Aidilfitri. Instagram/raufsalifu36

Namun, baginya, keterujaan adalah lebih dirasai apabila ia merupakan kali pertama dia menyambutnya di Malaysia yang pastinya menyajikan perbezaan.

"Saya cukup teruja untuk meraikannya yang merupakan satu pengalaman baharu di negara berbeza. Jadi, saya mahu lihat bagaimana ia di sini," katanya.

Selain kerap menyambut musim perayaan di Ghana, Salifu juga pernah berpeluang meraikannya di Amerika Syarikat apabila dia bersama skuad simpanan Sporting Kansas City.

Ketika di sana, pemain berketinggian 1.76 meter itu beraksi dalam liga MLS Next Pro dengan dia berjaya menjaringkan enam gol dalam 17 penampilan.

Selepas tempoh pinjamannya tamat, dia memilih untuk mengembangkan kariernya dengan menyertai Selangor FC dengan ia disahkan pada penghujung Januari lalu.

Dalam masa sama, Salifu turut mengakui dia amat tertarik dengan Malaysia yang memudahkannya mengamalkan gaya hidup sebagai seorang Muslim.

"Ini pertama kali saya tiba di negara ini kerana saya seorang Muslim dan negara ini ramai yang beragama Islam. Ia membantu saya dalam banyak perkara.

"Mungkin di negara lain sedikit berbeza kerana apabila saya berada di Amerika Syarikat, ia sedikit sukar buat saya. Jadi, syukur kepada ALLAH di atas nikmat ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram