'Bukan coach tapi pemain perlu direhatkan', fans cadang pinjam penyerang JDT bantu TRW lepas tewas di MBPJ


  • Podium
  • Isnin, 10 Apr 2023

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC kekal di tangga kedua tercorot Liga Super dengan empat mata. — Facebook/SelangorFC

WALAUPUN dengan pengendali baharu, Kelantan FC masih tidak mampu untuk meraih kemenangan apabila tewas di tangan Selangor FC 0-3 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Jaringan dari penyerang import, Ayron Del Valle meletakkan Selangor di depan pada minit ke-28 dan Rauf Salifu mencetak dua gol pada babak kedua untuk mengesahkan kemenangan skuad Gergasi Merah.

Selepas dihimpit dengan isu kontroversi merehatkan pengendali Korea Selatan, Choi Moon Sik, skuad The Red Warriors (TRW) melantik Frank Bernhardt sebagai pengganti untuk mengendalikan pasukan.

Bernhardt yang sebelum ini memegang sebagai Pengarah Teknikal Kelantan bagaimanapun gagal meraih tiga mata berharga buat pasukan Pantai Timur itu.

Namun begitu, penyokong Kelantan tidak meletakkan kegagalan berkenaan di bahu bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Azerbaijan itu tetapi mengganggap ia adalah kesalahan pemain TRW sendiri.

WhatsApp Image 2023-04-10 at 09.15.59

Bernhardt menjadi Ketua Jurulatih kedua Kelantan FC pada musim ini. — Facebook/SelangorFC

Bagi mereka gaya permainan pemain TRW tidak berada pada kualiti yang memuaskan dan ada juga mengibaratkan mereka hanya berada pada tahap pemain Liga M3.

Sehingga ada yang mencadang agar pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengambil insiatif untuk meminjam pemain dari Johor Darul Takzim (JDT), Muhamadou Sumareh pada jendela perpindahan kedua nanti.

“Jurulatih tidak perlu direhatkan. Pemain yang perlu direhatkan,” luah penyokong Kelantan, Abe Ndar.

“Pemain tempatan macam M3, import tidak ada guna. Permainan macam begini memang boleh turun Liga M3 lah kita pada musim depan,” kata seorang lagi penyokong TRW, Zulhisyam Rasdi.

“Elok juga Bohzam (Norizam) tanya TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemilik JDT). Nak pinjam Sumareh. Dia itu satu perlawanan pun tak main lagi sejak awal musim,” komen penyokong, Emier Danish Haniff.

Selepas lapan perlawanan Liga Super, pemain naturalisi negara itu masih tidak mempunyai sebarang penampilan bersama JDT dan disebabkan itu ramai yang memberi cadangan agar dia berhijrah ke pasukan lain demi mencari minit permainan.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC kekal di tangga kedua tercorot Liga Super dengan empat mata dan dalam perlawanan seterusnya Kelantan akan menentang Sabah FC bagi aksi kesembilan liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram