Mula pertikai import baharu, penyokong Selangor petik nama Ifedayo


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Ifedayo pernah beraksi bersama Selangor pada 2019 sehingga 2021 sebelum berhijrah ke Melaka United pada musim lalu.

SELANGOR FC berpesta gol apabila membelasah Kuching City 5-0 sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas aksi kedua saingan liga di Stadium Negeri, Sarawak pada Khamis.

Corak permainan ditampilkan anak buah Tan Cheng Hoe jelas berbeza apabila menyaksikan Kuching City lebih banyak berkubu menahan asakan jentera serangan Selangor.

Pada perlawanan tersebut pemain tengah kebangsaan Jordan, Noor Al Rawabdeh berjaya menjaringkan dua gol manakala tiga lagi dijaringkan oleh Ayron Del Valle, Brendan Gan dan Danial Asri.

Walaupun Selangor berjaya memenangi perlawanan itu dengan jaringan yang besar, beberapa pemain import skuad Gergasi Merah mula menjadi bualan penyokong apabila menampilkan aksi yang tidak konsisten.

Musim ini, Selangor mengekalkan Yazan Al-Arab, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan Hein Htet Aung dan membawa masuk tiga pemain baharu iaitu Rauf Salifu, Yohandry Orozco dan Ayron del Valle.

Ayron

Ayron del Valle berjaya menjaringkan satu gol ketika bertemu Kuching City. Facebook/Selangor FC

Orozco dan Ayron kini menjadi bualan penyokong kerana dilihat tidak mampu bersaing dengan pemain muda dan bergelut untuk serasi dengan taktikal Cheng Hoe.

Rata-rata penyokong meminta pihak pengurusan untuk menukar dua pemain itu dengan import baharu semasa jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada Julai.

"Ayron del Valle dan Yohandry Orozco bukan 'scam' sangat sebenarnya cuma level mereka main tak macam masa umur muda dulu dan sekarang diambang kejatuhan," ujar Noorsam Daros.

"Minta Ayron main kelab lain, nampak sangat zaman kegemilangan dia dah berlalu," jelas Baihaqi Je.

"Ayron dan Orozco agak membimbangkan, mungkin jendela perpindahan kedua nanti boleh ambil Ifedayo," kata Saiful Nizam.

"Ayron itu boleh dah tukar fungsi jadi penyerang tengah, cari balik Ifedayo nanti," luah Zack Hanif.

Selepas ini, Selangor FC bakal menerima kunjungan skuad Tok Gajah di halaman sendiri pada Ahad dan menariknya perlawanan ini akan berlangsung pada pukul 5 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram