Kontroversi jersi nombor 9 dan status Ifedayo, tentu ramai tak sangka ini jawapan Selangor FC


  • Podium
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Ifedayo menjaringkan 56 gol dalam 57 penampilan bersama Selangor FC sebelum ini. — Facebook/SelangorFC

PENGUMUMAN skuad utama Selangor FC musim ini sememangnya amat dinanti-nantikan para penyokong Red Giants lebih-lebih dikhabarkan terdapat 'kejutan' pada sesi pengenalan tersebut.

Ini selepas terdapat khabar angin mengaitkan bekas penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021, Ifedayo Olusegun dijangka kembali menyertai juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Malah ada yang mengatakan bekas peledak berbisa Melaka United FC (MUFC) itu bakal menyarung jersi nombor 9 yang masih tidak memiliki pemakai bagi musim ini.

Menepis dakwaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihak pengurusan tidak menolak untuk membawa masuk pemain versatil itu pada jendela perpindahan kedua.

Bagaimanapun katanya, kelab perlu meneliti keperluan dan menilai semula semua aspek yang perlu diperbaiki berdasarkan prestasi sebelum jendela perpindahan kedua dibuka.

"Ifedayo seorang pemain yang versatil dan berkualiti tinggi tapi setakat ini, Selangor FC belum ada perancangan untuk pemain itu.

"Tapi bagi jendela perpindahan kedua, kita boleh mempertimbangkan untuk bawa Ifedayo atau pemain asing lain cuma perlu nilai bahagian yang perlu diperbaiki sama ada serangan, pertahanan dan tengah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi away Selangor FC dan pengenalan skuad utama pasukan Red Giants di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada Sabtu.

event selangor

Antara pemain Selangor FC musim 2023. — Facebook/SelangorFC

Mengulas lanjut, Johan Kamal berkata, buat masa ini, tiada keperluan untuk merekrut Ifedayo kerana Selangor FC memiliki tiga tonggak penyerang iaitu Ayron del Valle, Raul Salifu dan Danial Asri.

"Situasi Ifedayo sebelum ini juga kurang jelas sama ada dia masih bersama Melaka United FC atau ejen bebas. Kita pun tak progress apa-apa rundingan dengan dia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Johan Kamal memaklumkan, pihaknya juga berasakan tiada keperluan untuk mengisi pemain nombor 9.

"Kita berpuas hati dengan pasukan yang ada. Malah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe gembira dengan barisan pemain dan kualiti yang mereka ada.

"Jendela perpindahan kedua nanti kita nilai semula situasi semasa pasukan untuk melihat keperluan mengisi jersi nombor 9.

"Dari segi serangan, pemain tengah dan juga pertahanan nampak ada good squad depth yang boleh beri saingan sengit. Keserasian dan keharmonian antara pemain juga sangat bagus," katanya.

Untuk rekod, Norhakim Hassan mengenakan jersi nombor 9 di Selangor FC pada musim lalu namun bagi musim ini, pemain sayap itu memakai jersi nombor 11. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram