PENYERANG import Ghana, Rauf Salifu hanya mengambil masa 25 minit untuk membuktikan kemampuannya untuk mencetak gol sulung bersama Selangor FC.
Pemain berusia 20 tahun itu berharap prestasinya ketika aksi menentang Kelantan FC pada Ahad itu akan membawa kepada lebih banyak peluang dalam perlawanan akan datang.
Salifu masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-70 ketika aksi menentang Kelantan pada Ahad dan dia berhasil membalas kepercayaan pengendali, Tan Cheng Hoe dengan dua gol pada minit ke-80 dan ke-91 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sebelum Salifu dimasukkan, Selangor mendahului perlawanan menentang skuad The Red Warriors (TRW) 1-0 dengan Ayron Del Valle menjaringkan gol pertama pada minit ke-28.
Menundukkan Kelantan FC 3-0 itu merupakan kemenangan ketiga berturut-turut skuad The Red Giants selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-1 pada 31 Mac dan Negeri Sembilan 2-1 pada 4 April.
Salifu ketika meraikan golnya ketika aksi menentang skuad TRW. — Facebook/SelangorFC
Persembahan memukau pemain muda itu mendapat pujian ramai penyokong dan Cheng Hoe mengakui bahawa dia juga terkejut dengan aksi Salifu.
“Dua gol daripadanya mengejutkan kami tetapi saya tahu apa yang dia lakukan di sebalik tabir. Rauf (Salifu) bukan sahaja bekerja keras dalam latihan tetapi juga melakukan latihan tambahan.
“Kerja keras itulah sebab di sebalik dua gol tersebut. Saya harap dia akan mendapat lebih keyakinan dalam perlawanan akan datang,” kata ketua jurulatih berusia 54 tahun itu.
Selangor yang kini berada di tangga kedua liga dengan 19 mata dilihat berupaya untuk meneruskan momentum itu tetapi Cheng Hoe tetap berhati-hati.
“Ia kelihatan bagus... tiga perlawanan terakhir, mata maksimum. Tetapi perjalanan kita masih jauh. Kami perlu meningkatkan penguasaan dan pergerakan menyerang.
“Kami juga perlu lebih tajam. Pada separuh masa pertama menentang Kelantan misalnya, kami tidak tajam dan boleh bolos daripada serangan balas. Pada separuh masa kedua, mujurlah. penggantian kami berjaya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Salifu turut menzahirkan perasaan gembiranya dengan penampilan cemerlangnya bersama skuad The Red Giants.
“Memang bagus untuk menjaringkan dua gol dalam aksi pertama saya bersama Selangor. Insya-ALLAH, semoga ada lagi yang akan datang. Saya teruja mengingat kembali aksi menentang Kelantan.
"Saya harap ini adalah permulaan kepada perkara yang lebih baik,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram