Man U pasukan berbeza berdepan Brighton — ten Hag


  • Podium
  • Ahad, 23 Apr 2023

Ten Hag mahu anak-anak buahnya bangkit untuk memastikan kemaraan ke final Piala FA 2023. — Agensi

PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag pasukannya akan membawa perbezaan menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Brighton & Hove Albion di Stadium Wembley, London pada Ahad.

Ia melihat kepada kekalahan anak-anak buahnya ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal musim lalu yang berlangsung di laman sendiri.

"Saya harap semua pihak percaya dengan apa yang sudah kami lakukan dan yakin bahawa kami merupakan sebuah pasukan cukup berbeza kali ini.

"Kami sudah melakukan langkah progresif, tapi kita tahu bahawa langkah demi langkah perlu diambil lebih-lebih lagi selepas tewas di tangan Sevilla beberapa hari lalu," katanya.

Kemenangan ke atas skuad The Seagulls bakal menyaksikan Manchester United mara ke satu lagi final musim ini selepas muncul juara dalam aksi Piala Liga awal musim lalu.

Tambah pengurus kelahiran Belanda itu, skuad The Red Devils perlu mengambil iktibar daripada prestasi tidak menentu beberapa minggu kebelakangan ini.

"Ini adalah apa yang perlu kami pelajari, bagaimana kami perlu berdepan dengan kesukaran dan tidak lagi menoleh ke belakang," katanya.

Dalam saingan EPL, Manchester United masih teguh berada di kedudukan ketiga selepas 30 perlawanan dengan Newcastle United di tangga keempat hanya dibezakan tiga mata.

Bagaimanapun, dalam saingan Liga Europa UEFA, mereka tersingkir di peringkat suku akhir di tangan kelab Sepanyol, Sevilla dengan agregat 3-5.

Jelas ten Hag, keputusan itu sukar untuk diterima yang mana dirasakan tidak sesuai dengan standard Manchester United yang merupakan salah sebuah gergasi Eropah.

"Jujur saya katakan bahawa saya tidak gembira, ia sukar untuk diterima. Jika anda beraksi di peringkat suku akhir dan tidak bersungguh-sungguh, ia memang tidak patut," katanya.

Selepas pertemuan dengan Brighton & Hove Albion, juara 13 kali EPL itu akan bertandang ke Stadium Tottenham Hotspur, England untuk bertemu Spurs yang juga sedang mengejar slot ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram