MANCHESTER United gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa UEFA (UEL) menentang Sevilla pada Jumaat.
Selepas mendahului dengan dua gol seawal minit ke-21, kealpaan benteng pertahanan pada minit akhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Namun, apa yang lebih merisaukan dalam pertembungan itu adalah kecederaan yang dialami bek tengah kental, Lisandro Martinez pada penghujung perlawanan.
Apa yang menariknya adalah apabila dua pemain Sevilla, Gonzalo Montiel dan Marcos Acuna mengambil keputusan mengusung pemain itu bagi meneruskan aksi di Stadium Old Trafford, Manchester itu.
Momen indah itu dilihat cukup menyentuh hati orang ramai memandangkan kesemua mereka beraksi bersama-sama dalam skuad kebangsaan Argentina ketika kempen Piala Dunia Qatar 2022.
Ten Hag (kanan) dan Maguire dipersalahkan kerana gagal mengawal keadaan. — Agensi
Bagaimanapun, perasaan itu tidak dirasakan bekas kapten Manchester United, Peter Schmeichel yang berang dengan dua individu penting kelab, Harry Maguire dan Erik Ten Hag.
Katanya, Acuna dan Montiel menangkat pemain pertahanan tersebut bukanlah kerana dasar simpati, namun mereka hanya mahu permainan segera diteruskan.
"Dengan mengeluarkan Martinez, ia tidak menghentikan momentum Sevilla. Manchester United pula sudah menggunakan kesemua slot untuk menggantikan pemain.
"Manchester United sepatutnya menghentikan tindakan itu, biarkan sahaja dia di atas padang dan benarkan pihak kesihatan melakukan apa yang perlu," katanya.
Tambah bekas penjaga gol antarabangsa Denmark itu, Maguire yang ketika itu memakai lilitan kapten sepertinya tidak mempunyai karakter sebagai seorang ketua.
Schmeichel merupakan salah seorang tonggak penting Manchester United pada era 1990-an. — Agensi
Selepas perlawanan, Ten Hag yang merupakan pengurus pasukan mengesahkan kecederaan yang dialami Martinez tidaklah seteruk yang dijangkakan, tetapi masih perlu diberikan rawatan lanjut.
Kehilangan pertahanan berkenaan sudah pasti akan merencatkan rentak Manchester United dengan mereka ketika ini sedang mengejar slot ke Liga Juara-juara UEFA (UCL) musim depan.
Skuad The Red Devils ketika ini sedang menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya tiga mata dibezakan dengan Tottenham Hotspur yang berada di kedudukan kelima liga.
Anak-anak buah Ten Hag bakal bertemu Nottingham Forest pada Ahad di tempat lawan sebelum sekali lagi bertemu Sevilla dalam suku akhir kedua UEL pada Jumaat depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram