Kim Pan-gon berguru dengan Xavi di Barcelona, fans harap tiada lagi taktik ‘menggelupur’


  • Podium
  • Jumaat, 21 Apr 2023

Pemain-pemain Barcelona sedang menjalani latihan. — Agensi

BARISAN kejurulatihan Harimau Malaya diketuai Kim Pan-gon telah berangkat ke Barcelona, Sepanyol dan bertemu dengan legenda bolasepak Sepanyol yang juga pengendali pasukan itu, Xavi Hernandez baru-baru ini.

Mereka diberi peluang mengikuti sesi latihan kelab gergasi Sepanyol itu dalam lawatan ke pusat latihan Barcelona.

Perkara itu dikongsikan jurulatih kecergasan, Ji Hyeon-park yang memuat naik sekeping gambar membabitkan barisan kejurulatihan Harimau Malaya bersama Xavi itu.

Dia menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Xavi atas kesudiannya membenarkan dirinya dan Pan-gon melihat sesi latihan yang sedang dijalankan kelab gergasi Sepanyol itu.

“Setelah sekian lama kita tidak berjumpa. Terima kasih kerana membenarkan kami untuk datang dan melihat sesi latihan anda,” ujar Ji Hyeon Park di ruangan caption.

Selain Hyeon Park dan Pan-gon, hadir sama adalah pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente yang sebelum ini pernah bersama pasukan Bawah 19 tahun (B-19) Barcelona.

Turut bersama delegasi ke Barcelona itu ialah jurulatih penjaga gol kebangsaan, Cho Junho dan jurulatih analisis prestasi Harimau Malaya, Lim Jaehun.

Pan-gon (dua kiri) dan penolongnya bergambar bersama Xavi (tiga dari kiri) di pusat latihan Barcelona.

Namun kehadiran barisan kejurulatihan Harimau Malaya ke Barcelona itu mendapat pelbagai reaksi penyokong yang mengharapkan Pan-gon akan menerapkan taktikal baharu dalam skuad kebangsaan.

"Harap Kim Pan-gon and The Gang singgah Manchester City pula nanti, lebih banyak taktikal boleh belajar," kata Football Agent-Malaysia.

"Harp ambil tips sikit macam mana midfielder Barca berfungsi, penat tengok Azam Azih kerja buang bola," ujar Ashyrul Harith.

"Harap dah tak ada taktikal menggelupur lagi, bosan tengok, high pressing dapat bola terus menggelupur bawa ke atas, kadang itu rakan sepasukan belum bersedia lagi," jelas Mohammad Ami.

"Gabungan taktikal Eropah dan Asia kalau sesuai acuannya pasti gegarkan Asia, jadi macam pasukan Korea Selatan pun sudah cukup bagus," luah Harith Adam.

Stadium Terengganu

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan menjadi venue skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi perlawanan persahabatan pada Jun.

Dua aksi persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu.

Harimau Malaya yang melonjak ke ranking 138 dunia pada awal bulan ini, dijadual bertemu Kepulauan Solomon yang menghuni ranking ke-134 dunia pada 15 Jun, diikuti aksi menentang Yaman (ke-157) pada 20 Jun.

Sebelum ini, skuad kendalian Kim Pan-gon mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menyaksikan mereka mencatatkan kemenangan masing-masing 1-0 dan 2-0 ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.

Stadium Nasional,Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang menjadi venue keramat skuad Harimau Malaya tidak dapat digunakan ketika ini berikutan kerja-kerja penggantian rumput. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram