MANCHESTER United meneruskan rentak bergaya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut ke atas Nottingham Forest.
Gol pemain sayap, Antony pada minit ke-32 meletakkan skuad The Red Devils di hadapan sebelum pemain pertahanan, Diogo Dalot menjaringkan gol kedua buat pasukan pada babak kedua permainan.
Keputusan itu membolehkan skuad kendalian Erik ten Hag kembali ke tangga ketiga EPL selepas berjaya memintas Newcastle United yang tewas kepad Aston Villa di tempat lawan.
Namun, kemenangan yang diraih itu terpalit dengan kontroversi apabila bola didapati mengenai tangan kapten Manchester United, Harry Maguire ketika sepakan penjuru buat Nottingham Forest.
Pengadil perlawanan, Simon Hooper memilih untuk tidak melihat skrin video bantuan pengadil (VAR) dengan sendiri yang mana dikatakan satu kerugian buat pasukan tuan rumah.
Bola mengenai tangan Maguire, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak pengadilan.
Hal berkenaan menarik perhatian penyokong bola sepak serta beberapa pihak lain, termasuk bekas kapten skuad The Red Devils, Roy Keane.
Menurut Keane, Maguire hanya bernasib baik kerana pengadil gagal mengenal pasti insiden yang berlaku seawal minit ke-20 permainan.
"Mungkin dia juga memerlukan nasib berkenaan, anda pasti boleh merasai keadaannya ketika ini. Pasukan itu sedang berjuang habis-habisan dan jika Nottingham diberikan penalti, mungkin tidak banyak aduan dibuat," katanya.
Pemain antarabangsa England itu sebelum ini diberikan tekanan daripada penyokong The Red Devils selepas menjaringkan gol sendiri ketika aksi Liga Europa UEFA (UEL) menentang Sevilla pertengahan minggu lalu.
Maguire diberi kepercayaan untuk beraksi selepas dua pertahanan tengah, Lisandro Martinez dan Raphael Varane masih sedang dalam proses penyembuhan masing-masing.
Skuad The Red Devils bakal berentap dalam suku akhir kedua UEL pada Jumaat sebelum bertandang ke Stadium Wembley, London untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Brighton & Hove Albion pada Ahad depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram