Aguero bikin panas, label legenda Man United hanya bergantung pada nasib


  • Podium
  • Khamis, 13 Apr 2023

Aguero sememangnya seorang penyerang legenda buat Manchester City. — Agensi

LEGENDA Manchester City, Sergio Aguero menjadi bahan bualan peminat bola sepak antarabangsa apabila melabel Cristiano Ronaldo sering bernasib baik dan hanya bergantung kepada jaringan sepakan percuma.

Pandangan itu dilontarkan pemain antarabangsa Argentina berkenaan ketika sedang bersiaran langsung menerusi aplikasi Twitch Selasa lalu.

'Tengok sahajalah dari mana dia jaringkan gol, kesemuanya hanyalah sepakan percuma dan sekadar nasib sahaja," katanya yang menjawab persoalan daripada orang ramai.

Tambah Aguero lagi, rakan sepasukannya, Lionel Messi serta legenda Real Madrid, Raul mempunyai kompilasi gol tercantik lebih baik berbanding pemain Al-Nassr itu.

"Berapa banyak daripada gol yang dijaringkannya hasil daripada sepakan percuma? Daripada 20 gol terbaik peribadinya, 15 daripadanya merupakan sepakan percuma.

"Jika kita lihat kepada Messi pula, 15 daripadanya pasti akan menunjukkan bahawa dia memperolehi gol selepas berjaya melepasi kira-kira lima pemain," katanya.

WhatsApp Image 2023-04-13 at 09.59.26

Cristiano Ronaldo sememangnya terkenal dengan kebolehan untuk menjaringkan sepakan percuma.

Berdasarkan statistik kedua-dua legenda bola sepak itu, Cristiano Ronaldo sudah berjaya menjaringkan 59 gol daripada situasi bola mati manakala Messi mencetak 61 gol sepakan percuma.

Pandangan bekas penyerang sensasi itu dilihat mencetuskan perdebatan hangat sehingga orang ramai mula berasakan Aguero berkata demikian memandangkan dia pernah beraksi di samping Messi di peringkat antarabangsa.

Hal itu diperhangatkan lagi dengan kejayaan Messi untuk menjulang trofi Piala Dunia bersama Argentina pada 2022 yang mana memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pemain terbaik dalam dunia bola sepak.

Bagaimanapun, statistik kedua-dua penyerang berbisa itu pastinya sukar untuk dipersoalkan dengan Ronaldo sudah meraih 832 gol sepanjang kariernya.

Sementara itu, Messi yang ketika ini bersama Paris Saint-Germain (PSG) juga tidak kurang hebatnya dengan 802 gol dicetak di peringkat kelab mahupun antarabangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram