Bukan Maguire atau Malacia, taktikal Ten Hag rupanya penyebab nasib malang United


  • Podium
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Maguire menjaringkan gol sendiri ketika aksi Liga Europa menentang Sevilla di Old Trafford pada Jumaat. — Agensi

PEMINAT Manchester United menyelar Erik ten Hag kerana melakukan penggantian yang salah dan meletakkan kesalahan taktikalnya ketika skuad The Red Devils seri 2-2 dengan Sevilla pada Jumaat.

The Red Devils mensia-siakan pendahuluan dua gol dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Europa ketika pasukan pelawat Sepanyol meledak gol lewat untuk menyamakan kedudukan menjelang perlawanan timbal balik dalam masa tujuh hari.

Dua gol sendiri Tyrell Malacia dan Harry Maguire dalam tempoh lapan minit terakhir yang menyaksikan Manchester United mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 mereka pada aksi tersebut.

Gol penyamaan itu berlaku pada masa kecederaan selepas diturunkan kepada 10 pemain apabila Lisandro Martinez diusung keluar kerana kecederaan.

Penyokong meletakkan kesalahan kepada Ten Hag yang melakukan sebanyak lima pertukaran pemain.

Raphael Varane dipaksa keluar selepas 45 minit dan digantikan dengan Harry Maguire, sebelum pertukaran tiga pemain pada minit ke-62 menyaksikan Christian Eriksen, Wout Weghorst dan Anthony Elanga menggantikan Bruno Fernandes, Anthony Martial dan Jadon Sancho.

Kemudian dengan baki sembilan minit Antony memberi laluan kepada Facundo Pellistri.

Penyokong setia United menzahirkan kekecewaan dengan perubahan Ten Hag selepas Tyrell Malacia dan Maguire menjaringkan gol sendiri dan melepaskan kelebihan Red Devils.

"Erik Ten Hag hanya perlu dipersalahkan untuk perkara ini,” kata salah seorang penyokong The Red Devils.

"Ten Hag mengeluarkan pemain terbaiknya dan kemudian membuat kesemua 5 pemain gantian untuk memastikan mereka kalah dan bermain di hujung permainan dengan 10 pemain."

Di sebalik kritikan daripada peminat, Ten Hag berettas dan mempertahankan pemain gantiannya selepas perlawanan berkenaan.

"Saya terpaksa membuatnya. Tidak ada cara lain. Rapha cedera, itu yang pertama saya perlu buat. Dan kemudian Anthony Martial kami terpaksa tukar pada minit ke-60.

"Kemudian Bruno. Saya mendapat amaran daripada pengadil. Perkara yang sama untuk Antony dos Santos. Jadi saya terpaksa membuat penggantian, saya tidak mempunyai pilihan lain.

"Tetapi kami tetap mengawal permainan. Ia adalah aksi yang baik daripada Pelle [Pellistri] dan Ty [Malacia] kerana mempunyai peluang besar untuk 3-0 pada minit ke-81.

"Dan kemudian 10 minit terakhir permainan semuanya menentang kami. Kemudian kami mendapat kecederaan Licha [Martinez], satu lagi nasib malang.

"Kedua-dua gol tidak berpihak kepada kami. Kadang-kadang anda mempunyai hari yang buruk dan nasib malang. Malam ini bukan malam kami."

Namun begitu, legenda Man United, Paul Scholes bersetuju dengan penyokong bahawa Ten Hag telah melakukan kesilapan.

Dia memberitahu BT Sport bahawa pasukan England itu tidak agresif pada separuh masa kedua dan mereka tidak mencipta sebarang peluang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram