KALAU kita bercakap mengenai Manchester pastinya akan terlintas dalam fikiran penyokong bola sepak tentang dua buah kelab yang disegani di seantero dunia iaitu Manchester United dan Manchester City.
Sejak kecil ramai di antara kita memasang niat untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan ingin mewakili kelab-kelab hebat di Eropah seperti Liverpool, Real Madrid, Chelsea, AC Milan, Barcelona dan banyak lagi.
Namun adakah anda tahu, lebih 12,000 kilometer dari dunia bola sepak England, Nicholas Swirad berani mengambil keputusan untuk berhijrah ke Malaysia bagi merealisasikan impian demi menjadi pemain bola sepak profesional.
Swirad pernah tersenarai dalam 25 pemain untuk kem skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan empat negara, Piala AIRMARINE pada 2019.
Namun disebabkan kecederaan, hasratnya untuk melakukan 'debut' bersama Harimau Malaya tidak kesampaian.
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon turut pernah memanggil pemain berusia 31 tahun itu menyertai kem Harimau Malaya.
Sekali lagi, hasrat pertahanan tengah Sri Pahang FC itu untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih tertangguh disebabkan urusannya di England.
Swirad ketika mewakili F.C. United of Manchester. — Agensi
Kerjaya sebelum menjadi pemain bola sepak
Dilahirkan di Manchester, England Swirad adalah salah seorang pemain bola sepak yang memiliki susur galur Malaysia melalui ibunya yang berasal daripada Pulau Pinang, yang kini menetap di Manchester bersama bapanya.
Bercakap kepada Majoriti, sebelum menjadi pemain bola sepak profesional, Swirad sempat mempelajari bidang sains sukan di universiti dengan melakukan kerja-kerja sambilan seperti jurulatih selain menjadi pengawal keselamatan.
"Sebelum saya menjadi pemain bola sepak profesional di Malaysia, saya mengambil ijazah sains sukan. Saya juga selalu pergi ke sekolah-sekolah sekitar Manchester untuk mengajar kanak-kanak dan penduduk setempat bermain bola sepak.
"Kelab pertama saya di England ialah F.C. United of Manchester yang bermain di liga amatur di England.
"Saya mewakili skuad remaja mereka dan berjaya melakukan debut bersama skuad utama ketika berusia 17 tahun.
"Selepas itu saya bermain banyak kelab di sekitar Manchester dan pernah juga mewakili bekas pasukan Jamie Vardy selepas satu tahun dia meninggalkan pasukan itu," katanya.
JDT merupakan pasukan pertama Swirad (kiri) ketika pertama kali menjejak kaki di Malaysia. — Facebook/JDT
'First imperssion'
Pemain yang mesra disapa dengan panggilan Nick itu pertama kali menjejak kaki di Malaysia apabila menyertai Johor Darul Takzim (JDT) pada 2016.
Dia kemudiannya dipinjamkan ke Melaka United pada pertengahan musim 2017 sebelum berpindah secara tetap.
Selepas Melaka United, Swirad beraksi untuk dua pasukan Lembah Klang, PKNS FC dan Selangor FC sebelum berhijrah ke Thailand.
Kini pemain pertahanan tengah itu sedang mewakili Sri Pahang FC dan menyarung jersi bernombor 61 bersama skuad Tok Gajah.
"First imperssion mengenai Liga Malaysia? Saya melihat ada beberapa pemain mempunyai skil teknikal yang bagus di negara ini.
"Persefahaman dalam permainan juga berbeza di England kerana dalam Liga Malaysia ada beberapa pemain yang suka buat 'trick' seperti diving, jadi sebagai pertahanan kita perlu agresif sedikit dan mengambil risiko.
"Berbeza di England, semasa bertahan kami akan lebih bersabar. Fizikal pemain di Malaysia dan England juga berbeza yang mana cara penjagaan pemakanan pemain lebih berdisplin tapi sejak kebelakangan ini ramai sudah mula mengambil tahu tentang pemakanan," ujarnya.
Swirad ketika membantu Nongbua Pitchaya muncul juara saingan Thai League 2. — Instagram
Perbezaan
Swirad sebelum ini menyertai pasukan Selangor pada awal musim 2020 namun jarang berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian B. Sathianathan ketika itu dan kerap memanaskan bangku simpanan.
Pada 2021 Swirad diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu kelab Thai League 2, Nongbua Pitchaya sekali gus menjadi pemain ketiga negara yang beraksi dalam Liga Thailand selain Junior Eldstal (Chonburi FC) dan Dominic Tan Jin Jung (Police Tero) dalam tahun tersebut.
Bersama Nongbua, Swirad membantu kelab itu muncul juara saingan Thai League 2 sekali gus mendapat tempat untuk beraksi di saingan Thai League 1 musim 2022.
Namun Swirad terpaksa meninggalkan pasukan itu kerana tidak mempunyai penampilan bersama skuad kebangsaan yang cukup untuk beraksi di saingan divisyen pertama Thailand.
"Di Thailand modul latihan mereka berbeza dengan Malaysia, modul latihan di sana hampir sama di England.
"Liga Thailand mereka lebih taktikal ia kerana corak permainan dan persefahaman dalam perlawanan agak berbeza dengan Malaysia.
"Saya bukan pertahanan yang mempunyai fizikal yang besar, jadi bila bermain di Thailand mereka terus faham dengan corak serta cara permainan saya.
"Disebabkan itu pihak pengurusan Nongbua tawarkan kontrak baharu tapi disebabkan saya tidak mempunyai kaps bersama skuad kebangsaan jadi saya tak boleh bermain dalam divisyen pertama Thailand," jelasnya.
Swirad pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 2019 dan 2022. — Instagram
Harapan
Umum mengetahui Swirad pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan ketika era Tan Cheng Hoe dan Kim Pan-gon.
Namun atas faktor peribadi dan kecederaan menghalang Swirad untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekali gus merekodkan kaps pertama bersama skuad kebangsaan.
"Saya pernah dipanggil oleh Cheng Hoe semasa 2019 tapi sebab kecederaan saya tak boleh melakukan debut. Pan-gon juga ada memanggil saya untuk menghadapi Piala AFF namun disebabkan urusan keluarga saya terpaksa tolak.
"Jujur cakap saya rasa kecewa kerana tidak dapat mewakili skuad kebangsaan, saya mendengar Pan-gon seorang jurulatih yang bagus, saya dapat maklum balas positif dari rakan-rakan tentang corak permainan dan latihan yang diterapkan olehnya.
"Berada dalam skuad kebangsaan untuk Piala Asia ia sangat menakjubkan namun saya perlu berkerja keras.
"Walaupun saya tak dapat panggilan untuk skuad Piala Asia, saya berharap di masa akan datang saya akan dipanggil selepas kecewa terpaksa menolak panggilan skuad kebangsaan atas urusan peribadi tempoh hari," jelasnya.
Swirad (kiri) berminat untuk bekerja dalam industri media selepas bersara dari dunia bola sepak. — Instagram
Perancangan
"Selepas bersara saya tidak tahu lagi apa yang akan saya lakukan, saya suka jadi jurulatih dan akan mendalami bidang itu selepas ini.
"Saya juga seronok melakukan kerja-kerja media contohnya bersama Astro, berkerja menganalisis perlawanan seperti bermain bola sepak, mungkin saya akan berada dalam dunia media selepas bersara bermain bola sepak," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram