Tak perlu pindah liga luar, JDT hanya perlu cipta 'sparring partner' melalui 3 perubahan


  • Podium
  • Jumaat, 14 Apr 2023

JDT semakin mengekalkan kecemerlangannya selepas menang dalam lapan perlawanan berturut-turut pada musim ini. — Facebook/JDT

PERSEMBAHAN cemerlang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di saingan Liga Super musim ini kian memberansangkan dan semakin sukar ditandingi kelab lain selepas berjaya mengekalkan rekod kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut.

Perkara itu bukanlah satu perkara yang baharu dan kejayaan JDT bermula sejak 2014 apabila meraih gelaran Liga Super pada musim tersebut ketika di bawah kendalian Cesar Ferrando Jimenez selain turut dibantu Bojan Hodak sebagai pengurus pasukan.

Bertitik tolak daripada itu, skuad Harimau Selatan terus mengorak langkah jauh apabila membawa masuk beberapa pemain import ternama dan jurulatih yang silih bertukar ganti bagi terus membentuk skuad terbaik di Malaysia.

Selang beberapa tahun kemudian, segala perancangan dicurahkan oleh pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim kian membuahkan hasil apabila masih menerajui saingan liga domestik negara dengan sembilan kejuaraan Liga Super telah berjaya diperoleh setakat ini.

Semakin jauh meninggalkan pasukan-pasukan lain di belakang, beberapa pihak mula menggesa agar kelab tersebut dipindahkan dan beraksi di liga luar negara yang lebih kompetitif dan selayaknya berbanding terus menghentam kelab lain di Liga Malaysia (Liga M).

Namun, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, ia adalah satu kerugian besar buat pasukan lain dalam negara kerana bakal kehilangan sebuah kelab yang mampu dijadikan contoh dan pencetus revolusi di saingan domestik.

Jika dilihat dari sudut positif, JDT telah membawakan pelbagai perubahan mendadak bukan sahaja dari segi kualiti permainan di Malaysia, malah imej serta fasiliti skuad kebangsaan juga semakin mendapat perhatian media luar dengan kejayaan Harimau Malaya melonjak ke ranking ke-138 dunia baru-baru ini.

sna

Skuad Harimau Malaya berjaya melonjak ke kedudukan 138 dunia setakat ini. — FAM

Justeru, adalah lebih baik jika JDT disarankan untuk mencari 'sparring partner' terbaik di Liga M dan terus kekal beraksi di Malaysia bagi meneruskan impak positif yang mula terbentuk ketika ini.

Berikut merupakan tiga langkah yang mungkin boleh diambil kira oleh pengurusan JDT sekiranya berhasrat ingin membentuk sebuah pasukan dan persaingan sihat dengan pasukan lain di Malaysia.

awpo

1. Jangan sambar pemain kelab lain

JDT ketika ini dibarisi ramai pemain ternama negara dengan sebahagian daripadanya juga merupakan tonggak utama skuad Harimau Malaya.

Tidak dinafikan, pasukan Johor sememangnya memiliki fasiliti terbaik berbanding pasukan lain dan ia merupakan antara tarikan utama yang dimahukan oleh setiap pemain untuk perbaiki mutu persembahan masing-masing.

Namun, pengurusan Harimau Selatan selepas ini mungkin boleh mengurangkan sedikit operasi pembelian pemain ternama tempatan dari kelab-kelab lain kerana situasi itu sedikit sebanyak boleh merencatkan perancangan pasukan lain.

Kehilangan pemain dan tonggak utama merupakan satu masalah besar perlu dihadapi jurulatih dan ia bukanlah perkara yang diinginkan oleh mana-mana pihak pengurusan.

Dengan ihsan yang diharapkan dari JDT, musim akan datang diharapkan agar proses pertukaran dan pembelian pemain tidak serancak sebelum ini yang menyaksikan JDT membawa masuk beberapa individu meningkat naik seperti Syihan Hazmi, Shahrul Saad dan Akhyar Rashid.

wilkin

2. Longgar syarat pinjaman

Meskipun JDT dibarisi ramai individu berbakat, namun pasukan itu tidak lokek dalam meminjamkan pemainnya secara pinjaman kepada pasukan lain bagi mengekalkan rentak cemerlang seseorang itu.

Namun, keputusan pasukan itu yang menetapkan syarat untuk tidak membenarkan pemainnya beraksi dalam perlawanan menentang JDT sekiranya berstatus pinjaman, telah merencat rentak dan taktikal sesebuah kelab itu dalam menguji pemainnya.

Stuart Wilkin misalnya, sebelum ini merupakan pemain JDT II yang telah dipinjamkan ke Sabah FC namun dengan syarat pemain itu tidak boleh diturunkan sekiranya menentang Harimau Selatan.

Sekiranya syarat itu dibatalkan dan diberikan kelonggaran pada musim akan datang, ia diyakini mampu meningkatkan lagi gaya permainan sesorang pemain itu di samping jurulatih juga berpeluang untuk membentuk gandingan dan persefahaman mantap dalam skuadnya.

akaw

3. Kongsi pengalaman

JDT yang memiliki ramai pemain muda berkualiti dilihat mampu mengekalkan rekod kejuaraan dan momentum pasukan itu untuk kekal di persada liga bagi lima musim akan datang.

Manakan tidak, projek akar umbi yang diterapkan di Akademi JDT merupakan antara resipi utama kejayaan pasukan itu pada hari ini.

Setakat ini, JDT merupakan satu-satunya pasukan di Liga M yang mempunyai akademi lengkap bermula dari peringkat bawah-12 hingga bawah-21 tahun dan projek itu nyata membuahkan hasil apabila beberapa pemain mula menyerlahkan bakat mereka bersama skuad senior.

Ia boleh dibuktikan menerusi Ramadhan Saifullah Usman, Arif Aiman Hanapi dan Feroz Baharudin yang telah mula mempamerkan taring bersama skuad utama JDT dan ketiga-tiganya juga antara pilihan Kim Pan-gon dalam barisan pemain yang dipanggil ke kem latihan.

Justeru, diharap JDT juga lebih bersifat terbuka untuk membantu pasukan lain dalam melakukan perkara sama dengan mengadakan sesi perkongsian dan lawatan ke kelab lain bagi mencurahkan segala idea yang mungkin boleh menyemarakkan lagi semangat kesukanan bola sepak di Malaysia kelak.

Tiga perkara di atas antara langkah yang boleh dilakukan oleh Harimau Selatan pada musim akan datang dengan harapan lebih ramai pasukan yang mampu berdaya saing dan seiring dengan revolusi dimiliki pasukan JDT.

Diharapkan JDT kekal beraksi di Liga M dan pasukan lain juga digesa terus bersemangat dalam mencapai kejayaan bukan sahaja sama seperti JDT, malah mungkin lebih baik daripada pasukan itu sekali gus menjadi 'sparring' diidamkan Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram