KECOH di laman media ketika ini apabila orang ramai terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur menghala ke Karak arah Timur seawal pukul 9 pagi Selasa.
Kesesakan teruk yang berlaku di lebuh raya terbabit berpunca akibat penutupan lorong kecemasan dan kiri laluan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan.
Pengendali lebuh raya itu, Anih Berhad dalam kemas kini di akaun Twitter berkata, kesesakan berlaku dari Kilometer (KM) 20.1 hingga KM30.8 berhampiran Bentong, Pahang.
Bagaimanapun, pada pukul 11 pagi Selasa, Anih memaklumkan kesemua lorong telah dibuka dan trafik dijangka beransur pulih.
Namun, perkongsian di laman Twitter setakat pukul 12 tengah hari Selasa menyaksikan trafik sesak masih berlanjutan sejak pagi dan ia nyata mengundang kemarahan dalam kalangan pemandu lebuh raya berkenaan.
Tidak dinafikan bahawa, perjalanan pulang ke kampung halaman sudah pun bermula ketika ini dengan segelintir masyarakat membuat perancangan awal untuk bergerak dua atau tiga hari sebelum tibanya Aidilfitri.
Namun, kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan ketika ini dikatakan kurang sesuai dengan situasi apabila ratusan kenderaan sudah mula membanjiri laluan lebuh raya berkenaan.
Kesesakan itu mengakibatkan perjalanan pulang ke kampung sedikit tergendala dan terpaksa berhadapan dengan tekanan serta stres memandu dalam keadaan sesak.
"Masa sekarang la baru nak turap jalan, pemandu yang jadi mangsa apabila tersangkut lebih lima jam di lebuh raya berkenaan, apa tujuan yang mendesak sangat untuk baiki jalan waktu macam ini," ujar Naim Zani.
"Sistem penurapan jalan di Malaysia ini memang pelik, main ikut suka hati je bila nak turap, masa jalan sibuk itu la baru sibuk nak tutup lorong, sampai bila pemandu nak hadap masalah ini, lagi-lagi musim balik raya jangan la kacau sepatutnya," kata Amir Hasni.
"Sepatutnya dua minggu sebelum raya dah selesai baiki jalan ni, bukan lagi dua tiga hari nak raya baru nak buat, bila jadi macam ini menyusahkan ibu bapa yang nak ambil anak pulang asrama, nak ke kampung lagi, semua tergendala walaupun masih awal kalau ikutkan," kata Nur Zurah Mazlan.
Dalam pada itu, orang ramai yang mahu bergerak pulang ke kampung halaman dinasihati untuk membuat perancangan sebaiknya sebelum memulakan perjalanan dan pastikan memandu dengan berhemah di atas jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram