BEBERAPA hari lalu, industri bola sepak tanah air digegarkan dengan perkongsian gambar menyayat hati bekas tonggak utama Kelantan FC, Mohd Badhri Radzi atau Piya yang didakwa seolah-olah sudah jatuh miskin dan menjadi gelandangan.
Namun, segalanya terbongkar apabila gambar tular berkenaan rupa-rupanya adalah sebahagian daripada sedutan filem bertajuk 'Satu Hari Sebelum Raya' arahan pengarah muda, Syahmi Saz.
Filem yang mula ditayangkan pada 6 April lalu itu menyaksikan Piya diberikan peranan sebagai pelakon tambahan sebagai watak gelandangan sekali gus menyangkal segala dakwaan negatif terhadap dirinya.
Mendapat pujian ramai penyokong susulan perkembangan terkini dikongsikan bekas bintang Kelantan itu, Piya sekali lagi meraih perhatian ramai apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim meniru gaya 'mukbang' yang sering dilakukannya di laman media.
Sering memuat naik video makan ala-ala 'mukbang' Korea di laman Instagram peribadinya, Piya kerap mempromosikan sos 'mukbang' buatan ibunya sebagai perniagaan sambilan.
Menerima pesanan mesej dari TMJ menerusi laman Instagram, trend 'mukbang' yang dilakukan nyata menjadi ikutan pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu.
Perkongsian dimuat naik di laman Instagram peribadi Badhri Radzi.
Mengakhiri perbualan tersebut, Piya menyatakan hasratnya untuk mengirim sos buatan ibunya kepada TMJ sebagai tanda penghargaan.
"Insya-ALLAH Tuanku, nanti boleh rasa sos mukbang mak Piya, nanti Piya akan pos untuk Tuanku sos mukbang mak Piya," ujarnya.
Dalam pada itu, rata-rata warganet memberi galakan kepada Piya untuk terus mengembangkan lagi perniagaan sos ibunya.
"Bagus, TMJ dah mula nampak keistimewaan ada pada Piya, harap dia terus kembangkan perniagaannya, mana tau boleh jadi penaja rasmi pasukan bola pula lepas ini," kata Ahmad Zuhair.
"Bagus TMJ ni walaupun Piya pemain lama, dia masih pantau perkembangan bekas tonggak negara dan tak segan untuk kirim mesej secara tidak rasmi," jelas Amir Mahmud.
Seorang penyanyi terkenal kelahiran Pantai Timur, Syafiq Farhain turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut.
"Buka kedai laluh bossku," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram