Aksi duo Pahang jadi tumpuan bertemu Gergasi Merah, 'ramuan' rahsia di Piala FA


  • Podium
  • Khamis, 13 Apr 2023

Sri Pahang FC mempunyai barisan pemain tengah terbaik pada musim ini. — Facebook/Pahang FC

MENJELANG aksi pertemuan pasukan Sri Pahang FC dan Selangor FC pada pusingan ke-16 terbaik di Piala FA, Sabtu depan, penonton sudah mula tampil dengan andaian masing-masing.

Ada berpendapat Selangor bakal mendominasi perlawanan tersebut susulan persembahan cemerlang ditampilkan dalam tiga perlawanan terdahulu di saingan Liga Super yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Namun, bagi peminat skuad Tok Gajah, mereka juga turut melaungkan amaran buat skuad Gergasi Merah dengan harapan kejayaan mampu diraih pasukan itu nanti.

Yakin dengan jentera serangan dimiliki, Pahang dikatakan mempunyai resipi tersendiri dalam merobek ke gawang lawan dalam perlawanan tersebut.

Gandingan duo Stefano Brundo dan Azam Azih di bahagian tengah diyakini mampu menjadi ancaman selain perlu diawasi oleh barisan pertahanan Selangor.

Mempunyai persefahaman baik di bahagian tengah, kedua-dua pemain itu turut berkebolehan dalam merancang tempoh serangan pasukan menerusi hantaran berbahaya yang mampu mengkucar-kacirkan pasukan lawan.

dlmd

Azam Azih antara pemain tengah berpengalaman dimiliki skuad Tok Gajah pada musim ini. — Facebook/Pahang FC

Salah seorang penyokong Pahang, Aziq Nabil berpendapat, kualiti kedua pemain itu merupakan antara yang mampu merobek pasukan lawan.

"Dari segi kualiti pemain, Brundo dan Azam antara yang terbaik dimiliki Pahang pada musim ini, jadi Selangor perlu awasi gandingan pemain ini.

"Azam Azih punya hantaran jauh memang bahaya, tepat ke arah rakan sepasukan, tinggal nak rembat terus ke pintu gol je," kata Mohd Yusri Bowtaq.

"Selangor mungkin ada kelebihan, tetapi Pahang ada pemain tengah yang bagus dan Azam Azih antara yang berpengalaman dan mampu buat hantaran jauh berkualiti," tambah Amir Aminuddin.

Pahang yang sebelum ini berjaya menewaskan pasukan Perak FC di pusingan pertama Piala FA menyaksikan betapa kelab itu nekad dalam memastikan sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan mampu dirangkul pada musim ini.

Tiada siapa menyangka bahawa skuad Tok Gajah mampu menewaskan anak-anak buah Lim Teong Kim dalam perlawanan pembukaan itu sebelum ini, namun atas disiplin tinggi yang dipamerkan, Pahang berjaya meraih kemenangan meskipun beraksi di tempat lawan.

Justeru, peminat sudah mula berteka-teki akan keputusan perlawanan menjelang pertemuan Selangor dan Pahang pada Sabtu nanti dengan rata-ratanya menjangkakan skrip sama bakal berulang di Stadium MBPJ nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram