PERBALAHAN kem jurulatih Korea Selatan, Choi Moon-sik dan Kelantan FC kini memasuki episod baharu selepas ejennya membuat lebih banyak pendedahan di Instagram.
Terbaharu, ejen kepada Moon-sik, Leo Jeong melalui IG Story mendedahkan pengendali Kelantan FC itu sentiasa menjadi mangsa balingan botol dan makian bos Kelantan FC.
"Bos Kelantan FC selalu baling botol kepada jurulatih dan memaki hamunnya. Dia terpaksa menahan rasa marah berulang kali," katanya.
Tangkap layar IG Story Leo Jeong. — Instagram
Tidak dapat dipastikan sama ada bos Kelantan FC itu merujuk kepada pemilik kelab, Norizam Tukiman atau individu lain yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam pengurusan kelab.
Itu bukan satu-satunya perdedahan daripada ejen Moon-sik bahkan menerusi entri lain, dia turut mendedahkan bos Kelantan FC campur tangan dalam pertukaran pemain.
"Ketika perlawanan sedang berlangsung, bos mengarahkan pertukaran pemain. Bolehkah perkara sebegini berlaku?
“Saya mahu tanya kepada penyokong bola sepak di Korea dan Jepun,” tulis Leo Jeong lagi.
Tangkap layar IG Story Leo Jeong. — Instagram
Selain itu, Leo Jeong juga mempersoalkan bayaran gaji seperti yang diperjelaskan oleh Norizam terlebih dahulu pada Rabu.
"Dia tulis di Facebook hari ini (Rabu) yang dia bayar gaji? Pemain tidak pernah dapat gaji. Dan tahun lepas, ramai pemain import tidak dibayar gaji. Mereka nampak kekurangan kelab ini," dakwanya.
Leo Jeong juga menunjukkan tangkap layar perbualannya dengan staf Kelantan FC berhubung pembayaran gaji, namun dia mendakwa mereka seolah-olah mahu mengelak daripada menjawab pertanyaan tersebut.
Tangkap layar IG Story Leo Jeong. — Instagram
Sementara itu, bekas penyerang import Kelantan FC, Nixon Guylherme tampil mempertahankan ejen Moon-sik.
"Akhirnya ada yang berani menyatakan kebenaran. Ia agak memalukan kerana Kelantan FC adalah kelab yang besar," tulisnya di ruangan komen Facebook.
Terdahulu, heboh diperkatakan bahawa Kelantan FC menjadi pasukan pertama mengumumkan untuk merehatkan Moon-sik yang menyaksikan Penolong Ketua Jurulatih, Rezal Zambery Yahya dilantik sebagai pengendali sementara lantikan baharu dibuat, memandangkan dia tidak memiliki lesen pro.
Tangkap layar komen Guylherme. — Facebook
Berita mengejutkan itu diumumkan ketika beberapa minit sebelum aksi sepak mula antara skuad TRW dan seteru terdekat mereka, Terengganu FC.
Setelah perlawanan yang menyaksikan skuad TRW tewas 0-5, timbul cerita kurang enak mengenai pemecatan Moon-sik dan perkara itu didedahkan oleh ejennya dari Korea Selatan, Lee Jeong menerusi laman Instagram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram