PENGENDALI Kelantan FC, Choi Moon-sik menjadi mangsa kekejaman pertama Liga Malaysia apabila jurulatih pertama yang direhatkan musim ini.
Pengumuman mengejutkan itu diumumkan pihak pengurusan Kelantan FC ketika pasukan hanya berbaki 40 minit sebelum turun padang menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Selasa.
Pihak pengurusan Kelantan FC melantik Rezal Zambery Yahya sebagai jurulatih sementara namun gagal membawa pasukan mengutip sebarang mata apabila tewas 0-5 hasil jaringan Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, Ivan Mamut dan Hakimi Abdullah.
Bagaimanapun, ada cerita yang kurang baik di sebalik pemecatan Choi Moon-sik dan perkara itu didedahkan oleh ejennya dari Korea Selatan, Leo Jeong menerusi laman Instagram.
“Pasukan ini (Kelantan) dari luar nampak mengagumkan, tetapi dari dalam, ia sangat teruk seperti sebuah pasukan amatur.
"Pasukan ini ‘memecat’ jurulatih (Choi Moon-sik) dan memilih barisan pemain untuk perlawanan malam ini (Selasa) dan juga sebelum ini tanpa merujuk kepada barisan kejurulatihan," katanya dalam Instagram.
Tangkap layar kenyataan tersebut.
Malah, dia turut mendedahkan terdapat pemain mempunyai tunggakan gaji selama dua bulan dan mahu membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
"Selain itu, para pemain juga sudah tidak menerima gaji selama dua bulan malah ketika perlawanan di halaman lawan, mereka menaiki bas selama 10 jam dan tidak diberi makan.
"Segalanya nampak seperti pasukan amatur tetapi barisan jurulatih cuba beri yang terbaik,” jelasnya lagi.
Skuad The Red Warriors (TRW) sebelum ini pernah berdepan enam kes FIFA membabitkan tunggakan gaji pemain import.
Namun, semua tunggakan tersebut berjaya diselesaikan selepas kelab diambil alih oleh Norizam Turkiman atau dikenali sebagai ZamSaham.
Choi Moon-sik menjadi jurulatih pertama Liga Super yang dilepaskan malah ia berlaku 40 minit sebelum aksi derbi mereka di laman lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram