TATKALA Liga Super kembali hangat berlangsung, timbul kisah kurang enak yang menghimpit pasukan Kelantan FC selepas ejen kepada bekas jurulatihnya mendedahkan kelab Pantai Timur itu bergerak seperti sebuah kelab amatur.
Ejen dari Korea Selatan itu, Leo Jeong turut mendedahkan pemain The Red Warriors berdepan masalah tunggakan gaji selama dua bulan.
"Pemain sudah dua bulan tidak menerima gaji, malah ketika perlawanan di halaman lawan, mereka menaiki bas selama 10 jam dan tidak diberi makan," tulisnya di ruangan Instagram.
Menepis dakwaan itu, pemilik TRW, Norizam Tukiman berkata, apa yang diperkatakan oleh Leo Jeong berhubung tunggakan gaji pemain adalah satu fitnah.
"Adakah pemain dapat gaji setiap bulan? Ya semua pemain dapat gaji setiap bulan.
Norizam sentiasa mengambil berat perihal para pemainnya jika mereka ditimpa kecemasan dan sebagainya. — Facebook/ TRW
"Cuma selama tiga tahun ni sejak ambil alih kelab, faham-faham sahajalah ada masa gaji masuk lambat dalam seminggu dua.
"Tapi kalau ada kata berbulan-bulan tak dapat gaji itu adalah fitnah!" tegas Norizam.
Ahli perniagaan itu memberitahu, dia sentiasa mengambil berat perihal para pemainnya jika mereka ditimpa kecemasan dan sebagainya.
"Alhamdulillah, semua pemain ada akses kepada saya. Mereka boleh hubungi saya bila-bila masa dan ramai sahaja yang pinjam duit saya apabila mereka terdesak seperti kereta rosak atau nak pakai keperluan keluarga.
"Terdesak nak pakai duit segera, nak pakai loan dan advance gaji, semua saya bantu dan ambil berat. Kelab Kelantan bukan kelab mewah tapi kita ambil tahu dan ambil berat semua keperluan," katanya.
Norizam mengambil alih Kelantan FC pada September 2020. — Facebook/ TRW
Berhubung dakwaan mengatakan ada 'transferban' dikenakan ke Kelantan FC oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Norizam turut menepis dakwaan berkenaan.
"Alhamdulillah, setakat ini, semua kes FIFA yang dulu-dulu semua dah diselesaikan.
"Jika ke hadapan ada apa-apa isu berkenaan FIFA dan sebagainya tentu sahaja team undang-undang akan laksanakan tugas mereka dengan baik," katanya lagi.
Pada awal Mac, Kelantan FC turut terpalit kontroversi kewangan selepas ada bekas kakitangan mendakwa tidak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tempoh setahun.
Norizam dilaporkan berkata bahawa caruman KWSP kepada pemain dan pekerja akan dibayar cuma ia dilaksanakan secara berperingkat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram