Tidak mahu 'head coach' besar kepala, Bos Zam dedah punca 'kick' Moon-sik


  • Podium
  • Rabu, 05 Apr 2023

Berita pemecatan Moon-sik diumumkan beberapa minit sebelum aksi sepak mula antara skua TRW dan seteru terdekat mereka, Terengganu FC. — Facebook/TRW

SELEPAS lima perlawanan Liga Super musim 2023, Kelantan FC menjadi pasukan pertama mengumumkan untuk merehatkan ketua jurulatih yang mana Choi Moon-sik terpaksa diketepikan dan digantikan dengan Rezal Zambery Yahya sebagai pengendali sementara.

Berita mengejutkan itu diumumkan ketika beberapa minit sebelum aksi sepak mula antara skuad The Red Warriors (TRW) dan seteru terdekat mereka, Terengganu FC.

Setelah perlawanan yang menyaksikan skuad TRW tewas 0-5 di Stadium Sultan Mizan, timbul cerita kurang enak mengenai pemecatan Moon-sik dan perkara itu didedahkan oleh ejennya dari Korea Selatan, Lee Jeong menerusi laman Instagram.

WhatsApp Image 2023-04-05 at 18.15.23

Antara aksi perlawanan antara skuad TRW dan Terengganu pada Rabu. — Facebook/TRW

Antara dakwaan ejen Moon-sik ialah pengurusan skuad TRW memecat pengendali dari Korea Selatan itu tanpa berbincang dengan mereka, selain menyifatkan kelab Pantai Timur itu lebih teruk daripada pasukan amatur.

Hal ini kerana, menurut ejen berkenaan, pihak pengurusan TRW juga bertindak untuk memilih sendiri pemain tanpa berbincang dengan ketua jurulatih.

Tidak menunggu lama untuk menjelaskan isi tersebut, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman akhirnya membuat kenyataan berhubung dakwaan berkenaan dan cerita sebenar di sebalik pemecatan Moon-sik.

Menurut Norizam atau lebih dikenali dengan gelaran Bos Zam atau Zamsaham, keputusan merehatkan Moon-sik dibuat selepas kekalahan berterusan dan kesukaran komunikasi antara pemain dan jurulatih lain, selain tiada laporan prestasi dari pengendali tersebut.

Malah, situasi merehatkan ketua jurulatih pernah berlaku di kem TRW pada 2021 sewaktu Rezal Zambery menggantikan Marco Ragini yang disingkirkan selepas mengalami masalah kesihatan hingga perlu menjalani pembedahan.

Berkenaan isu pemilihan pemain pula, katanya, hampir kesemua pemain diperkenalkan oleh ejen, pengarah sukan dan saranan daripada barisan kejurulatihan termasuklah campur tangan Moon-sik.

WhatsApp Image 2023-04-05 at 18.15.27

Moon-sik dibawa masuk pada Januari lalu untuk membimbing skuad TRW musim ini. — Facebook/TRW

“Kita mula berlatih pada 2 Januari 2023 dan ketua jurulatih sampai pada 12 Januari 2023. Dalam masa tujuh minggu adalah mencukupi. Di pra musim, kita telah berusaha mendapatkan lawan-lawan yang kuat seperti Buriram United, Kedah FC, Negeri Sembilan FC dan dua pasukan M3.

“Ramai pemain-pemain yang kita uji dan panggil dari pasukan Liga Super yang ketua jurulatih tak berkenan. Termasuk beberapa pemain import yang HC (Head Coach) nak nilai sendiri. Terdapat tiga orang pemain berkualiti di posisi nombor enam (DMF) dalam senarai ini yang beliau tolak.

“Pemain import dari Korea juga atas pilihan head coach sendiri. Tentang prestasi penyokong sendiri boleh nilai. Tentang kesebelasan utama pula, 100 peratus saya serahkan kepada HC, tetapi ada masa saya akan minta untuk masukkan atau keluarkan pemain-pemain yang dirasakan perlu atas nasihat team coaches. Kalau selaku pemilik, cadangan saya yang satu peratus ini tak boleh diterima, baik saya jangan jadi pemilik,” katanya.

Dalam pada itu, Norizam juga memberitahu beliau inginkan jurulatih yang menerima teguran serta pendangan dari orang lain dan bukannya seseorang yang 'besar kepala'.

Selain itu, beliau juga tidak akan mengganggu kerja-kerja skuad TRW jika pasukannya mempamerkan prestasi memuaskan pada saingan Liga Super.

“Saya juga tak mahu head coach besar kepala sangat sehingga langsung tak mahu dengar pandangan dari teknikal, Sporting Director dan team coaches yang lain. Di Kelantan kita semua kena terbuka pada idea.Yang baik kita ambik, tiada salah pun.

“Matlamat saya hanya mahu menang.Itu sahaja, simple. Berikan saya kemenangan dan saya takkan kacau. Saya ada banyak benda lain nak pikir. Tapi kalau dah kalah teruk takkan saya nak biarkan habis sehingga teruk. Saya kena campur tangan sebab tiada pemilik nak kelabnya kalah dan jadi lauk terus.

“Semua ada tertulis dalam kontrak sebelum pegang jawatan HC. Head Coach datang dan pergi. Bila menang dia claim semua kejayaan. Bila masalah, senang saja..Angkat kaki. Macam biasa saya juga yangg hadap bila ada masalah dan isu besar,” tambahnya.

Skuad TRW sedang berada di tangga ke-11 Liga Super dengan hanya empat mata yang berjaya dikumpul hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram