Azraai puji Nafuzi bawa pulang mata dari Darul Makmur


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

Kedua-dua pasukan perlu berpuas hati dengan keputusan seri yang dicatatkan di Stadium Darul Makmur, Pahang. — Facebook/KDA FC

SETELAH bergelut sepanjang 90 minit masa permainan di Stadium Darul Makmur, Pahang, jaringan penyerang import, Jonathan Balotelli pada penghujung perlawanan jelas menjadi penyelamat buat Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Mereka yang ketika itu ketinggalan dengan satu gol dilihat cukup bersemangat untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan meskipun buntu dengan benteng pertahanan Sri Pahang FC.

Tekanan pastinya dirasai ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang berharap satu kemenangan manis dapat dicatatkan untuk membawa mereka ke kedudukan lebih selesa dalam carta Liga Super.

Namun, dengan keputusan seri 1-1 tersebut, dia sepertinya masih mampu tersenyum, lebih-lebih lagi apabila skuad Sang Kenari kini berada di kedudukan kedua liga.

Walaupun mereka terikat dari segi pengumpulan mata, perbezaan jaringan yang lebih ketara meletakkan mereka lebih tinggi berbanding dua pasukan lain, iaitu Sabah FC dan Selangor FC.

338525203_938635610609302_2030212578602842309_n

Nafuzi pasti berbangga dengan kesungguhan yang dipamerkan anak-anak buahnya. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, perasaan itu pastinya sukar untuk dirasakan rata-rata penyokong Hijau Kuning, sama ada yang turun ke stadium mahupun menonton perlawanan itu di kaca televisyen masing-masing.

Bagi mereka, hanya bek tengah, Bojan Ciger boleh dikategorikan sebagai pembelian terbaik jendela perpindahan musim lalu berbanding import-import yang lain.

Ia termasuk penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira yang dianggap terlalu mengecewakan dari segi sentuhan di hadapan pintu gol mahupun dari segi gerakannya bersama rakan sepasukan.

Dari segi sumbangannya pula, dua gol ketika berdepan Perak FC dan Kelantan United FC masih tidak boleh meletakkannya sebagai antara penyerang prolifik Liga Super.

56899540_10210830000744524_3471894757125390336_n

Kedah menikmati satu zaman yang cukup manis ketika berada di bawah bimbingan Azraai (atas, tengah). Facebook/Azraai Khor Abdullah

Perkara itu turut ditekankan bekas pengendali Kedah FA, Azraai Khor Abdullah yang mengharapkan barisan kejurulatihan kelab dapat menyelesaikan perkara itu.

"Kalau boleh kekal dalam carta ni kira Alhamdulillah, banyak juga homework yang perlu dibuat untuk jentera serangan. Trust the process," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Jurulatih berusia 70 tahun terbabit pernah meluahkan kekecewaannya terhadap Willian Lira dengan menegaskan dia perlu segera mendapatkan rentak atau dijangkan bakal meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan akan datang.

Ia pastinya sukar buat Azraai melihat kualiti penyerang berusia 29 tahun itu, lebih-lebih lagi apabila dia pernah memiliki gandingan berbisa antara Marlon Alex James dan Nelson San Martins.

Namun, tambah Azraai, pujian masih perlu diberikan kepada Nafuzi dan anak-anak buahnya yang berjaya mencatatkan keputusan seri.

"Satu mata yang sangat berharga, main di tempat lawan tetapi tidak pulang dengan tangan kosong," katanya dalam satu hantaran berbeza.

Ketika mengendalikan skuad Sang Kenari, Azraai pernah mengemudi pasukan Utara tanah air itu ke satu tahap berbeza apabila menjulang tiga trofi dalam semusim yang dicapai untuk dua tahun berturut-turut.

Pencapaian itu ketika ini masih tidak diulangi mana-mana kelab tempatan, sekali gus mengukuhkan lagi namanya dalam sejarah bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram