Fandi akui kecewa Pahang gagal bawa pulang tiga mata bertemu Kedah


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

Skuad Tok Gajah sudah mencatatkan empat keputusan seri setakat enam perlawanan Liga Super. — Facebook/Sri Pahang FC

PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad akui dia sedikit kecewa selepas menyaksikan pasukannya gagal menyekat hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk membawa pulang satu mata dalam aksi Sabtu lalu.

"Kami bermain dengan cukup baik, menjaringkan gol pertama perlawanan dan mencipta begitu banyak peluang, tetapi penyudah kami sedikit tumpul

"Kami mempunyai pelbagai peluang dalam situasi serangan balas dan mereka akhirnya mengambil peluang ketika kami sedikit leka memasuki minit-minit akhir permainan," katanya.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang, skuad Tok Gajah dilihat lebih bertenaga dari segi serangan dan pertahanan.

Usaha mereka itu akhirnya membuahkan hasil apabila import Sri Pahang, Stefano Brundo menjaringkan penalti pada minit ke-62 bagi meletakkan jurang antara kedua-dua pasukan.

Mereka berpeluang menggandakan kelebihan pada minit ke-86, namun sepakan penalti daripada Lucas Silva gagal menepati sasaran sehingga menyebabkan pasukan Pantai Timur itu sedikit gugup.

WhatsApp Image 2023-04-03 at 09.02.40

Fandi bagaimanapun masih berbangga dengan semangat juang anak-anak buahnya.

Pasukan kendalian Fandi Ahmad itu akhirnya dihukum menerusi jaringan minit-minit akhir daripada penyerang KDA FC, Jonathan Balotelli yang menyamakan kedudukan.

Selepas enam perlawanan, skuad Tok Gajah masih belum mengalami sebarang kekalahan dengan hanya pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang juga mengekalkan rekod berkenaan.

Bagaimanapun, ia pasti sedikit meragukan dengan mereka merekodkan empat keputusan seri, yang mana menyaksikan pasukan itu berada di tangga kelima liga.

Dalam masa sama, Fandi turut mengakui pihak pelawat merupakan sebuah pasukan yang baik, tetapi mengakui permainan lebih dikawal anak-anak buahnya pada masa kedua perlawanan.

"Kami sepatutnya membawa pulang tiga mata penuh, tetapi ia bukanlah peluang buat kami. Tambahan pula, keputusan seri itu juga sedikit merunsingkan kami," kata jurulatih berusia 60 tahun itu.

Sementara itu, bagi ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain, pujian seharusnya diberikan kepada pemain skuad Sang Kenari yang berusaha dengan bersungguh-sungguh.

"Saya cukup berpuas hati dengan persembahan serta kesungguhan yang ditunjukkan pemain-pemain saya. Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk beraksi di Stadium Darul Makmur, Pahang.

"Kami mengawal permainan pada awalnya, tetapi dalam masa sama, kami juga melakukan beberapa kesilapan kerana memberikan dua sepakan penalti," katanya.

Keputusan itu menyaksikan KDA FC mendaki ke tangga kedua Liga Super dengan mereka pastinya sedang melakukan persiapan rapi menjelang pertemuan dengan Penang FC pada Rabu.

Sri Pahang pula bakal bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu untuk berdepan PDRM FC dengan Fandi pastinya berharap untuk mendapatkan kemenangan ketiga musim ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram