Pemain import Kedah setanding Messi, Haaland namun gagal tembus skuad utama


  • Podium
  • Ahad, 02 Apr 2023

Kesebelasan utama KDA FC ketika berdepan Sri Pahang FC pada Sabtu. — Facebook/KDA FC

PENYOKONG Sang Kenari pastinya kecewa apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal mengutip tiga mata penuh di tempat lawan apabila sekadar terikat satu sama menentang Sri Pahang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Sabtu.

Menambah kekecewaan penyokong Hijau Kuning apabila penyerang import, Willian Lira sekali lagi mempamerkan aksi yang tidak positif meskipun mempunyai masa untuk mengasah ketajaman ketika liga direhatkan untuk beri laluan kepada skuad kebangsaan.

Pemain kelahiran Brazil itu terus tampil dengan serba tidak menjadi ketika bertemu Sri Pahang, dengan dia lebih banyak berlegar di posisi serangan tanpa memberikan impak positif buat pasukan untuk mendapatkan gol.

Namun di sebalik kekecawaan penyokong Kedah pasti mampu terubat jika penyerang import, Ebenezer Assifuah diberikan peluang oleh Nafuzi Zain untuk mengetuai serangan KDA FC dalam perlawanan menentang Penang FC pada Rabu.

Assifuah yang kini masih belum diberikan peluang beraksi bersama skuad utama merupakan penjaring terbanyak dalam Piala MFL dengan tiga jaringan gol dalam tiga perlawanan.

Golden Boot

Assifuah ketika merangkul anugerah penjaring terbanyak Piala Dunia B-20 2013. Agensi

Menurut perkongsian Onefootball.my di Twitter, Assifuah pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak Piala Dunia B-20 2013 yang mana ketika itu skuad kebangsaan Ghana mendapat tempat ketiga di dalam kejohanan itu.

Dengan jaringan enam gol dalam semua perlawanan Piala Dunia B-20, Assifuah pernah berdiri setanding nama-nama bintang bola sepak lain seperit Lionel Messi, Sergio Aguero dan Erling Haaland yang pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak kejohanan itu.

Selain itu, nama Assifuah turut tersenarai antara pemain muda terbaik tahunan dalam benua Afrika pada 2013, namun tewas dengan bintang Leicester City, Kelechi Iheanacho.

Pau FC

Kelab terakhir Assifuah sebelum menyertai KDA FC ialah Pau FC di Liga Perancis. Agensi

Pemain berusia 29 tahun itu datang ke Liga Malaysia dengan profil yang sangat tinggi, namun kini masih belum melakukan sebarang penampilan bersama skuad utama KDA FC.

Adakah prestasi tidak menentu Lira akan membuka ruang untuk Assifuah mendapat tempat menentang skuad Harimau Kumbang di Stadium Darul Aman, Kedah pada Rabu.

Sama-sama kita saksikan adakah pemain bekas juara Liga Switzerland itu mampu menambat hati Nafuzi Zain untuk dipanggil ke dalam skuad utama Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram