Fandi kecewa Tok Gajah leka, Nafuzi puji moral Sang Kenari berjuang hingga minit terakhir


  • Podium
  • Ahad, 02 Apr 2023

Sebahagian aksi KDA FC ketika menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu. — Facebook / MFL

HILANG fokus di hujung perlawanan menyebabkan Sri Pahang FC terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 dengan Kedah Darul Aman FC pada saingan Liga Super di laman sendiri walaupun mendahului sehingga masa kecederaan.

Ketua Jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad menyifatkan keputusan itu sebagai 'agak menghampakan' memandangkan skuad bimbingannya lebih banyak melancarkan serangan dan mendominasi permainan pada babak kedua perlawanan.

"Pihak lawan banyak mendominasi perlawanan pada babak pertama sebelum kawalan bola kita menjadi lebih baik dan lebih banyak mencipta peluang apabila menukar formasi kepada 4-3-3 pada separuh masa kedua.

"Agak malang kerana penyudah kita kurang baik untuk mencetak lebih banyak gol pada perlawanan ini, selain hilang konsentrasi pada minit-minit akhir sehingga membolehkan Kedah menyamakan kedudukan," katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Pada perlawanan itu, hasrat Sri Pahang FC untuk mengutip tiga mata penuh selepas mendahului pada minit ke-62 menerusi sepakan penalti oleh pemain pertahanan, Stefano Brundo tidak kesampaian apabila pemain import Sang Kenari, Jonathan Boareto dos Reis berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-93.

338547330_471851578410158_2222683123545121193_n

Stefano Brundo mencetak nama sebagai penjaring Sri Pahang FC ketika menentang KDA FC pada Sabtu. — Facebook / MFL

Fandi berkata selain itu, kelemahan membuat hantaran akhir oleh pemain tengah kepada jentera serangan yang dilihat kurang berkesan untuk merobek gawang lawan juga perlu diperbaiki.

Sementara itu, pengendali Kedah, Nafuzi Zain berkata, kejayaan membawa pulang satu mata di tempat lawan serta prestasi Sri Pahang FC kini berada pada tahap terbaik, bukan tugas mudah buat anak buahnya.

"Saya melihat kita lebih banyak mendominasi perlawanan ini, begitu juga peluang mencipta jaringan... tetapi kelekaan kita memberi semangat buat pihak lawan untuk bangkit menjaringkan gol awal.

"Namun, situasi berkenaan sebenarnya baik kerana di situ kita dapat lihat kekuatan mental dan moral para pemain untuk meneruskan perjuangan daripada ketinggalan sehingga berjaya menyamakan keputusan pada minit akhir," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram