PENYERANG Manchester City, Erling Haaland dilihat terpaksa melupakan hasrat untuk diturunkan ketika aksi menentang Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Berdasarkan laporan, pemain berkenaan tidak berada dalam dua sesi latihan kelab selepas pulang dari mewakili negara dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Perkara itu pastinya merunsingkan pengurus skuad The Citizen, Pep Guardiola dengan pasukan itu sedang berusaha keras memberi tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal.
Ketika ini, The Gunners memiliki kelebihan lapan mata berbanding Manchester City, namun sudah beraksi lebih satu perlawanan.
Bapa kepada Haaland, Alfie berkata, terdapat kemungkinan besar penyerang antarabangsa Norway itu tidak akan diturunkan sekiranya masih belum pulang ke padang latihan.
Haaland berjaya menjaringkan tiga gol dalam penampilan terakhirnya bersama Manchester City. — Agensi
"Anda tidak boleh meninggalkan pasukan untuk dua minggu tanpa sebarang latihan dan secara terus dimasukkan ke dalam kesebelasan utama," katanya.
Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini beraksi selama 63 minit dalam aksi Piala FA menentang Burnley di Stadium Etihad, Manchester yang mana dia menjaringkan hatrik keenamnya musim ini.
Menurut laporan sebelum ini, Haaland memaklumkan bahawa terdapat kecederaan ringan di kakinya sebelum terpaksa diterbangkan ke Barcelona, Sepanyol untuk diberikan rawatan lanjut.
Kehilangan penyerang tinggi lampai itu dijangka akan memberi kesukaran buat skuad kendalian Guardiola selepas mereka juga tidak dapat menurunkan Phil Foden yang baru sahaja pulih daripada pembedahan apendiks.
Musim ini, Liverpool sudah mencatatkan dua kemenangan ke atas Manchester City iaitu ketika aksi Piala Sumbangsih dan pertembungan di Stadium Anfield, Liverpool awal musim lalu.
Perlawanan itu pastinya cukup mendebarkan buat kedua-dua pasukan selain Arsenal yang juga perlu mendapatkan tiga mata ketika menentang Leeds United pada Sabtu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram