TIDAK boleh dinafikan bahawa pemain tengah antarabangsa England, Jude Bellingham mula mencuri perhatian pasukan-pasukan gergasi sekitar Eropah, termasuk Real Madrid dan Liverpool.
Dia yang ketika ini terikat bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund sudah menunjukkan kualiti tersendiri sehingga kerap diberikan kepercayaan memakai lilitan kapten.
Bagaimanapun, baru-baru ini, pemain berusia 19 tahun itu seolah-olah memberi gambaran bahawa dia berminat untuk pulang ke negara kelahirannya dan menyertai Manchester United.
Dalam satu sesi wawancara selepas perlawanan antara England dan Ukraine, Bellingham dilaporkan berkata, masih terdapat pelbagai perkara yang perlu dipelajarinya dalam dunia bola sepak.
"Saya sentiasa mahu untuk belajar dan jadi seseorang yang boleh melakukan pelbagai perkara dan ketika ini, saya ada peluang bersama England dan Dortmund.
"Untuk jadi seorang pemain tengah yang mempunyai peranan dari segi pertahanan mahupun menyerang, masih ada sesuatu perlu ditambah baik," katanya dipetik daripada laporan media antarabangsa.
Pelbagai perkara boleh dipelajari Bellingham dari Casemiro (kiri) dan Fernandes. — Agensi
Meskipun ia tidak menyatakan sebarang gambaran secara jelas, lambakan pemain berusia bersama Liverpool ketika ini dilihat akan menyukarkan proses pembelajaran buat Bellingham.
Kapten pasukan, Jordan Henderson sudah mencecah usia 32 tahun sementara pemain tengah bertahan, Fabinho hampir memasuki usia 30-an dengan dia juga kerap disisihkan berikutan isu kesihatan.
Bagi Manchester United pula, kehadiran Casemiro dan Bruno Fernandes dilihat sebagai platform terbaik jika Bellingham mempunyai hasrat untuk mengembangkan pengetahuannya dalam bola sepak.
Henderson (kiri) dan Fabinho sudah tidak berada dalam kemuncak karier masing-masing. — Agensi
Sementara itu, Manchester City yang juga dilaporkan berminat dengan pemain itu bukanlah destinasi terbaik apabila mereka sudah memiliki sejumlah pilihan berkualiti di posisi tersebut.
Perkara itu turut dirasakan Real Madrid yang turut mempunyai dua bintang muda Perancis, Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni, sekali gus membuktikan posisi tengah bukanlah keutamaan pasukan.
Berdasarkan laporan lain, Bellingham dinilai pada harga RM525 juta (€110 juta) dengan kontraknya masih berbaki sehingga Jun 2025.
Dia sebelum ini menyertai Dortmund dari Birmingham City dan sudah mencipta sebanyak 124 penampilan, termasuk 85 daripadanya terhasil dalam Bundesliga. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram