Jasa dihargai, legenda Man Utd, Arsenal diundang ke 'Hall of Fame' EPL


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Kelibat Ferguson (kiri) dan Wenger berjaya mewarnai arena bola sepak antarabangsa untuk beberapa tahun. — Agensi

DUA pengurus ternama Liga Perdana Inggeris (EPL), Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger diberi penghormatan untuk dinamakan dalam Hall of Fame liga ternama itu.

Mereka kedua-dua memiliki rekod tersendiri dengan Ferguson menjuarai 13 kejuaraan sementara Wenger memenanginya sebanyak tiga kali.

Selain berjaya menjulang trofi itu sebanyak beberapa kali, personaliti serta pencapaian lain kedua-dua pengurus ternama tersebut diundang ke dalam senarai kehormat itu.

Bagi Ferguson, kemampuannya untuk memenangi kejuaraan sebanyak tiga kali berturut-turut sememangnya satu perkara yang sukar diulangi sehingga hari ini.

Tambahan pula, kejayaannya untuk menaikkan beberapa nama megah dalam dunia bola sepak, seperti Cristiano Ronaldo dan David Beckham sudah cukup untuk menggelarnya seorang legenda EPL.

sir-alex-ferguson-and-arsene-wenger-premier-league-hall-of-fame

Ferguson (kiri) dan Wenger merupakan dua nama yang cukup terkenal dalam dunia bola sepak. — Agensi

Dari segi personaliti pula, ketegasan yang sering dikongsikan anak-anak buahnya sering dijadikan panduan pengurus hari ini jika mereka mahu berada di tahap lebih tinggi.

"Saya sememangnya terharu apabila diperkenalkan dalam senarai yang cukup hebat ini, ia adalah satu penghargaan yang cukup besar buat saya.

"Namun, ia bukanlah sumbangan saya seorang kerana ia adalah tugas kelab saya, Manchester United bersama pemain untuk meraih pencapaian yang pernah dicatat," kata pengurus kelahiran Scotland itu.

Pencapaian Wenger pula tidak kurang hebatnya meskipun dia hanya memenangi tiga trofi EPL bersama Arsenal sepanjang tempoh pengurusannya dari 1996 hingga 2018.

Antara momen terbaik pernah dicatatkan pengendali kelahiran Perancis itu pastinya berkisar akan kejayaannya mengemudi skuad The Gunners untuk menamatkan musim EPL tanpa sebarang kekalahan.

Rekod yang diraih pada musim 2003/04 itu sememangnya sukar untuk ditandingi dengan tiada mana-mana pasukan pernah mencapai tahap membanggakan terbabit.

"Saya hanya mahu dikenali sebagai seorang yang cukup menyayangi dan menghormati Arsenal selain berpotensi meninggalkan pasukan itu dengan mereka ada ruang untuk terus berkembang," katanya.

Hall of Fame EPL sebelum ini diperkenalkan pada 2021 dengan beberapa pemain sudah diperkenalkan, termasuk segelintir daripada anak didikan Ferguson dan Wenger. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram