BEKAS bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo meninggalkan skuad The Red Devils buat kali kedua dalam situasi tegang pada November lalu selepas mengatakan bahawa dia tidak menghormati keputusan pengurus, Erik Teng Hag.
Pemenang lima Anugerah Ballon d'Or itu menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr, sementara Manchester United sedang menikmati kejayaan dengan memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) dan berada di kedudukan empat teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Perpindahan itu jelas menerima perhatian ramai pihak dengan bekas rakan sepasukan, Wayne Rooney turut menjadi salah seorang yang memberi pandangan akan situasi legenda bola sepak terbabit.
Rooney berkata, Ronaldo sudah pasti mendapat apa yang dihajatinya. Namun, bagi Manchester United, ia sangat penting bagi merrka untuk mengendalikan isu tersebut dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemain yang masih mahu bermain di kelab itu.
"Saya fikir Ten Hag melakukan tugas yang sangat baik yang mana hanya memberi fokus kepada pemain dan meletakkan kelab itu di tangga empat teratas dan memenangi Piala EFL.
"Ronaldo telah melakukan yang terbaik buat Man United apabila dia memenangi beberapa kejuaraan EPL, Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan menjaringkan banyak gol. Jadi, sudah pasti kami tidak akan melupakan jasanya kepada kelab ini," kata Rooney.
Penyerang The Red Devils itu turut mengatakan bahawa Ronaldo tetap kekal menjadi legenda kelab namun tidak menyangka dia akan berakhir dengan cara seperti itu.
Rooney juga boleh dikatakan sebagai legenda kelab itu kerana pernah memenangi Piala EFL dan turut menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram